ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Dera, Gigit Anak Angkat 7 Bulan Hingga Mati, Suri Rumah Dipenjara 17 Tahun

KUALA LUMPUR – Seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara 17 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian anak angkat perempuannya yang berusia tujuh bulan akibat didera tahun lalu.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu terhadap Siti Subrina Imran, 39, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 31 Julai 2025.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menyebabkan kematian bayi berkenaan di sebuah unit kondominium di Jalan Sri Permaisuri, Cheras antara jam 10 malam, 29 Julai hingga 7 pagi, 30 Julai 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada suami tertuduh yang memaklumkan anak angkat mereka tidak sedarkan diri. Pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati bayi itu ditemukan tidak bernyawa di dalam katil bayi di sebuah bilik rumah berkenaan.

Hasil pemeriksaan turut mendapati terdapat kesan lebam pada muka dan seluruh badan mangsa. Siasatan mendapati bayi itu telah dicubit, ditampar dan digigit oleh tertuduh sehingga mengalami kecederaan.

Siasatan juga mendakwa tertuduh menganiaya mangsa dengan menghisap dadah jenis syabu sebelum menghembuskan asap ke dalam mulut bayi tersebut.

Polis turut menemukan perbualan WhatsApp yang dihantar tertuduh kepada suaminya, yang antaranya berbunyi: “Aku kasi lebam budak itu separuh mati.”

Timbalan Pendakwa Raya, Wafa Zainal Abidin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat memandangkan mangsa merupakan bayi berusia tujuh bulan yang tidak mampu mempertahankan diri.

Menurutnya, mangsa yang sepatutnya menerima perlindungan, kasih sayang dan penjagaan daripada orang dewasa, sebaliknya menjadi mangsa penderaan oleh individu yang diamanahkan menjaganya.

“Fakta kes menunjukkan mangsa dicubit, ditampar dan digigit oleh tertuduh. Perbuatan itu jelas menunjukkan penderaan fizikal yang dilakukan secara berulang dan disengajakan.

“Hukuman yang dijatuhkan perlu memberi mesej jelas kepada masyarakat bahawa penderaan terhadap kanak-kanak sehingga mengakibatkan kematian tidak akan dipandang ringan oleh mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Siti Subrina yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan mempunyai seorang anak orang kurang upaya (OKU) yang menghidap penyakit jantung.

“Saya juga telah ditinggalkan suami, puan,” katanya kepada mahkamah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *