Pasport Baharu Malaysia Dengan 94 Ciri Keselamatan Mula Dikeluarkan Esok
KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia akan mula mengeluarkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu bermula esok dengan penambahbaikan kepada 94 ciri keselamatan, hampir dua kali ganda berbanding 49 ciri pada pasport sedia ada.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, antara teknologi keselamatan yang diperkenalkan termasuk guilloche, latent image, rainbow printing, line width modulation, hologram serta cetakan ultraungu (UV) bagi memperkukuh perlindungan daripada pemalsuan, pengubahsuaian dan penyalahgunaan dokumen perjalanan.
Menurutnya, ciri keselamatan baharu itu merangkumi elemen visual, tersembunyi dan forensik yang dibangunkan selaras dengan perkembangan teknologi serta keperluan keselamatan global.
Beliau berkata, PMA baharu ditawarkan dengan tempoh sah laku 10 tahun pada kadar RM350, manakala pasport lima tahun kekal pada kadar RM200.
“Buat permulaan, pasport ini akan dikeluarkan di 14 pejabat Imigresen negeri termasuk ibu pejabat sebagai fasa pertama sebelum diperluaskan secara berperingkat sehingga fasa ketujuh.
“Melalui peningkatan ciri keselamatan ini, pasport baharu lebih selamat dan sukar dipalsukan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan pelancaran PMA versi baharu di reruai Jabatan Imigresen di lobi Dewan Rakyat.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Zakaria turut menyerahkan pasport baharu kepada Anwar sebagai simbolik pelancarannya.
Beliau berkata, Jabatan Imigresen kini mengeluarkan antara 180,000 hingga 220,000 pasport setiap bulan dan jumlah itu dijangka meningkat susulan permintaan terhadap versi baharu.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan rakyat supaya tidak tergesa-gesa menukar pasport sekiranya dokumen sedia ada masih dalam tempoh sah.
“Saya mohon rakyat Malaysia tidak tergesa-gesa menukar pasport jika yang sedia ada masih sah. Mereka yang pasportnya tamat tempoh atau ingin membuat permohonan baharu boleh meneruskannya,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan pengenalan PMA struktur baharu merupakan langkah transformasi penting dalam memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan negara di samping meningkatkan kemudahan kepada rakyat.
Menurut kementerian itu, bermula esok rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas boleh memilih untuk memohon pasport dengan tempoh sah laku sama ada lima atau 10 tahun mengikut keperluan.
“Pengenalan pasport 10 tahun dijangka mengurangkan kekerapan pembaharuan, menjimatkan masa pengguna serta memudahkan urusan perjalanan dalam dan luar negara.
“Tempoh sah laku baharu ini juga memberi penjimatan RM50 berbanding kos memperbaharui pasport lima tahun sebanyak dua kali dalam tempoh yang sama,” menurut KDN.
KDN turut memaklumkan Malaysia merupakan antara negara terawal memperkenalkan e-Pasport pada 1998 dan PMA versi baharu meneruskan pencapaian itu menerusi penggunaan teknologi keselamatan terkini yang mematuhi piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Selain aspek keselamatan, pasport baharu turut mengetengahkan identiti nasional melalui elemen sejarah, warisan budaya dan sistem Raja Berperlembagaan.
Ikon utama pasport kini menggunakan rama-rama Rajah Brooke’s Birdwing, menggantikan bunga raya yang digunakan pada reka bentuk terdahulu sebagai simbol keunikan biodiversiti dan khazanah alam semula jadi Malaysia.
KDN berkata, pengeluaran PMA turut disokong mesin pencetak generasi baharu yang mampu mencetak sehingga 60 pasport sejam bagi memenuhi permintaan semasa.
“Pasport Malaysia terus diiktiraf sebagai antara pasport paling berkuasa di dunia. Pengenalan PMA struktur baharu ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan dokumen perjalanan negara kekal selamat, moden, dipercayai dan setanding dengan amalan terbaik antarabangsa,” menurut kementerian itu.
