ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

MD2030 Ikhtiar Strategik Hadapi AI, Automasi, Ekonomi Berasaskan Data

KUALA LUMPUR – Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 (MD2030) yang dilancarkan hari ini menjadi strategi utama kerajaan dalam mempersiapkan negara menghadapi era kecerdasan buatan (AI), automasi dan ekonomi berasaskan data.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelan berkenaan turut dirangka bagi memperkukuh daya tahan negara dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik serta persaingan ekonomi digital di peringkat global.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata keutamaan kerajaan adalah memastikan setiap inisiatif di bawah MD2030 dilaksanakan secara tersusun, berdisiplin dan berimpak tinggi.

“Keutamaan kita ialah memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan tersusun, berdisiplin dan berimpak agar dapat memberi manfaat kepada rakyat, memperkukuh daya saing perniagaan serta memacu Malaysia ke arah sebuah Negara AI yang inklusif menjelang 2030,” katanya.

Terdahulu, Anwar melancarkan MD2030 yang menjadi rangka tindakan nasional bagi tempoh 2026 hingga 2030, sekali gus menandakan peralihan fokus negara daripada sekadar pengguna teknologi kepada pengeluar inovasi digital tempatan.

Beliau berkata, ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN), beliau turut menegaskan bahawa pembangunan perkhidmatan digital kerajaan perlu dilaksanakan secara dalaman di bawah penyelarasan Kementerian Digital menerusi Jabatan Digital Negara.

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan data negara terus terpelihara, selain mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar serta memperkukuh kepakaran digital dalam sektor awam.

“Insya-Allah dengan iltizam seluruh jentera Kerajaan MADANI, MD2030 akan menjadi agenda nasional yang mengubah cara kita bekerja, berkhidmat dan membina masa depan negara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *