“Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” Tema Hari Kebangsaan, Hari Malaysia 2026
KUALA LUMPUR – Kerajaan menetapkan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” sebagai tema rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, manakala logo Malaysia MADANI dikekalkan sebagai identiti rasmi sambutan tahun ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pemilihan tema tersebut mencerminkan aspirasi Kerajaan MADANI untuk membina sebuah negara yang inklusif, progresif dan harmoni, dengan manfaat pembangunan serta kesejahteraan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.
Menurut beliau, tema itu menekankan komitmen kerajaan dalam memastikan kemajuan negara tidak hanya dirasai oleh kelompok tertentu, sebaliknya memberi manfaat secara menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat.
“Fokus utama tema ini adalah untuk memastikan kesejahteraan bukan hanya dikecapi oleh golongan tertentu, tetapi dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media mingguan hari ini.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, pelbagai program dan aktiviti akan dianjurkan di seluruh negara sepanjang Bulan Kebangsaan dengan pendekatan yang sederhana tetapi tetap meriah.
Beliau berkata, orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai jadual program dan pengisian sambutan menerusi platform rasmi Merdeka360.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos depan akan berlangsung di Dataran Putrajaya.
Menurutnya, walaupun penganjuran tahun ini mengekalkan konsep sederhana, sambutan itu tetap akan menampilkan pelbagai pengisian menarik dan istimewa.
“Sambutan akan diadakan secara lebih sederhana, tetapi tidak kurang kemeriahan. Saya percaya apabila tiba masanya nanti, akan ada beberapa pengisian yang unik untuk dipersembahkan kepada rakyat, namun masih terlalu awal untuk saya kongsikan,” katanya.
