ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Istiadat Menghadap Menjunjung Duli Kejadian Undang Luak Sungei Ujong, Undang Luak Rembau, Esok

KUALA PILAH – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, berkenan mengadakan Istiadat Menghadap Menjunjung Duli bagi Menyempurnakan Kejadian Undang Luak Sungei Ujong dan Undang Luak Rembau di Istana Besar Seri Menanti, esok.

Istiadat berkenaan akan berlangsung dalam dua sesi, iaitu pada sebelah pagi bagi menyempurnakan Kejadian Undang Luak Sungei Ujong, manakala sebelah petang pula bagi menyempurnakan Kejadian Undang Luak Rembau.

Kedua-dua istiadat itu merupakan antara acara penting dalam sistem pemerintahan Adat Perpatih di Negeri Sembilan dan melengkapkan proses pelantikan Undang mengikut adat yang diamalkan sejak turun-temurun.

Perkara itu dizahirkan menerusi titah Tuanku Muhriz yang disampaikan oleh Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz ketika berkenan menerima menghadap Datuk-Datuk Adat Luak Sungei Ujong, waris soko dan rombongan di Istana Besar Seri Menanti, hari ini.

Menurut baginda, proses pemilihan penyandang Pesaka Undang Luak Sungei Ujong telah dilaksanakan mengikut adat yang diamalkan di luak berkenaan.

“Saya telah mendengar tujuan menghadap dan sembah maklum daripada Waris Negeri Sungei Ujong, Datuk Sinda Maharaja Razlan Hamid yang mewakili luak, bahawa pemilihan penyandang Pesaka Undang Luak Sungei Ujong telah dilaksanakan mengikut adat yang terpakai.

“Saya ingin menyampaikan titah perkenan Ayahanda saya, Tuanku Muhriz, yang berkenan mengadakan Istiadat Menghadap Menjunjung Duli bagi Menyempurnakan Kejadian Undang Luak Sungei Ujong pada pagi Sabtu ini.

“Bagi urusan dan persiapan istiadat tersebut, Datuk-Datuk Adat bolehlah berbincang dengan Orang Empat Istana. Saya mendoakan agar segala urusan berjalan lancar,” titah baginda.

Semalam, Dato-Dato Lembaga Adat Luak Rembau turut menghadap Tunku Ali Redhauddin bagi mempersembahkan Hassan Ab Hamid, 67, sebagai Undang Luak Rembau Ke-22.

Sebelum ini, media melaporkan akauntan berusia 29 tahun, Muhammad Faris Johari dipilih sebagai Dato’ Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong Ke-11.

Pemilihannya dibuat menerusi istiadat kerapatan di Telaga Undang secara muafakat oleh Waris Nan Tua Klana Hulu bersama Ibu Soko-Ibu Soko Klana Hulu serta Waris-Waris Klana Hulu.

Pelantikan itu dibuat selepas Dewan Keadilan dan Undang menerima pemberhentian Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak sebagai penyandang Pesaka Undang Luak Sungei Ujong Ke-10.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *