ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Politik

Anwar Gesa Kempen Politik Sopan, Elak Sikap Angkuh

DENGKIL – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua parti politik agar menjalankan kempen pilihan raya secara berhemah, berakhlak dan saling menghormati, tanpa memperlihatkan sikap angkuh dalam usaha meraih sokongan rakyat.

Beliau berkata, pertandingan tiga penjuru atau lebih merupakan perkara biasa dalam sistem demokrasi dan tidak seharusnya dijadikan isu atau polemik.

Menurutnya, apa yang lebih penting ialah setiap parti mengamalkan budaya politik yang matang dengan mengekalkan kesopanan sepanjang tempoh berkempen.

Anwar turut menegaskan bahawa mana-mana pihak yang mendapat sokongan rakyat tidak seharusnya bersikap sombong atau memandang rendah terhadap pihak lain.

“Tiga penjuru atau enam penjuru sekali pun adalah lumrah dalam amalan demokrasi. Cuma biarlah kempen itu dijalankan secara sopan, menjaga akhlak dan jangan lupa daratan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah, di sini hari ini.

Perdana Menteri turut mengingatkan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) supaya mengelakkan sikap angkuh walaupun mempunyai pencapaian sebagai kerajaan.

“Bagi kita, khususnya dalam Pakatan Harapan, jangan tunjuk sombong. Jangan kata tolak orang itu atau tolak orang ini. Sebaliknya, teruskan semangat kerjasama,” katanya.

Beliau berkata, landskap politik negara ketika ini memerlukan pendekatan yang lebih sederhana serta semangat kerjasama demi memastikan kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan.

Sehubungan itu, Anwar menggesa parti-parti dalam kerajaan supaya terus mendekati rakyat berasaskan prestasi dan pencapaian yang telah dilaksanakan, bukannya menjadikan kejayaan tersebut sebagai alasan untuk bersikap angkuh.

“Malaysia hari ini memerlukan pendekatan yang lebih sederhana. Santunilah rakyat dan dekati seberapa ramai masyarakat tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *