ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Kerajaan Pertahan Cadangan Verifikasi Umur Pengguna Media Sosial Guna MyKad, eKYC

KUALA LUMPUR – Kerajaan mempertahankan cadangan penggunaan dokumen rasmi seperti MyKad serta sistem Kenali Pelanggan Anda Secara Elektronik (eKYC) bagi tujuan pengesahan umur pengguna media sosial bawah 16 tahun sebagai langkah memperkukuh keselamatan dalam talian.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mekanisme itu bertujuan melindungi golongan bawah umur daripada risiko penyalahgunaan platform media sosial selain mengelakkan mereka terdedah kepada kandungan yang tidak sesuai.

Menurut beliau, pelaksanaan kaedah berkenaan tidak bercanggah dengan dasar sedia ada kerana pendekatan sama telah digunakan dalam pelbagai sektor lain di negara ini.

“Kerajaan melihat tiada sebarang percanggahan dasar untuk melaksanakan pengesahan umur menggunakan dokumen rasmi kerajaan kerana kaedah ini telah lama diguna pakai dalam beberapa urusan dan perkhidmatan lain.

“Pada masa yang sama, aspek keselamatan dan perlindungan data peribadi akan terus menjadi keutamaan sepanjang pelaksanaan mekanisme ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kebimbangan sesetengah pihak berhubung isu privasi pengguna susulan cadangan penggunaan MyKad atau eKYC bagi tujuan pengesahan umur di platform media sosial.

Fahmi menegaskan, semua proses yang melibatkan data pengguna tertakluk kepada peruntukan Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA), sekali gus memastikan maklumat yang dikumpulkan dikendalikan secara selamat dan tidak disalahgunakan.

“Dari sudut perlindungan data peribadi, sudah tentu Akta Perlindungan Data Peribadi akan terus terpakai dan menjadi asas kepada pengurusan maklumat pengguna,” katanya pada sidang media di Angkasapuri Kota Media, hari ini.

Cadangan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh kawal selia ruang digital, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan remaja daripada ancaman siber, kandungan berbahaya serta eksploitasi dalam talian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *