ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Politik

Hamzah Zainudin Dilantik Presiden, Rais Yatim Pengerusi WAWASAN

KUALA LUMPUR – Parti Wawasan Negara (WAWASAN) mengumumkan barisan kepimpinan pusatnya yang baharu dengan pengasas Gerakan RESET, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilantik sebagai Presiden parti.

Kepimpinan yang diumumkan itu menghimpunkan gabungan tokoh politik berpengalaman, bekas menteri, Ahli Parlimen serta golongan profesional daripada pelbagai bidang.

Jawatan Pengerusi pula disandang oleh tokoh veteran politik negara, Tan Sri Rais Yatim, yang sebelum ini pernah memegang pelbagai portfolio penting dalam kerajaan.

Sementara itu, bekas Ketua Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Datuk Tan Lek Khang dilantik sebagai Timbalan Presiden.

Bagi jawatan Naib Presiden, WAWASAN menamakan beberapa pemimpin berpengalaman termasuk Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik; Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta bekas Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Leong Kim Soon.

Turut mengisi portfolio sama ialah Datuk Mohd Omar Mustapha dan Datuk Huan Cheng Guan.

Dalam perkembangan sama, dua bekas pemimpin Bersatu yang sebelum ini dipecat daripada parti itu turut diberi peranan penting dalam struktur baharu WAWASAN.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah dilantik sebagai Setiausaha Agung, manakala Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal diberi tanggungjawab sebagai Ketua Penerangan.

Jawatan Setiausaha Eksekutif pula disandang oleh Mohd Badrul Ezan Mohd Yusof, sementara Bendahari Agung diamanahkan kepada Datuk Arifin Tobias.

Selain itu, parti berkenaan turut mengumumkan pelantikan 25 Ahli Jawatankuasa (AJK) pusat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzair Ayob; bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA, Profesor Emeritus Tan Sri Ibrahim Shah Abu Shah serta Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan.

Pengumuman barisan kepimpinan itu dilihat sebagai langkah awal WAWASAN dalam memperkukuh organisasi parti menjelang landskap politik yang semakin dinamik, termasuk menghadapi beberapa pilihan raya yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *