Perikatan Nasional makin bercelaru
PN MAKIN BERCELARU? PAS, BERSATU BEREBUT LOGO MENJELANG PRN
KANGAR, 19 Jun – Kemelut dalam Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin memuncak apabila PAS dan Bersatu masing-masing bertegas mahu kekal dalam gabungan itu serta menggunakan logo PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Perkembangan tersebut mencetuskan persoalan mengenai siapa sebenarnya yang mempunyai hak ke atas logo PN, selain menimbulkan spekulasi bahawa hubungan antara kedua-dua parti utama pembangkang itu semakin retak.
Dalam masa sama, pakar pilihan raya memaklumkan dua parti tidak boleh menggunakan logo yang sama tanpa watikah pencalonan yang sah daripada pimpinan tertinggi gabungan berkenaan. Keadaan itu boleh memaksa sama ada PAS atau Bersatu menggunakan logo parti masing-masing sekiranya pertikaian gagal diselesaikan.
Sebelum ini, Presiden Muhyiddin Yassin menegaskan Bersatu akan terus kekal dalam PN dan tidak boleh disingkirkan secara unilateral oleh mana-mana pihak.
Kemelut dalaman ini hadir ketika kedua-dua parti sedang membuat persiapan menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan, sekali gus dilihat mampu memberi kesan terhadap strategi serta persepsi pengundi terhadap gabungan tersebut.
