ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Politik

PN Rombak Kepimpinan, Azmin Dan Radzi Jidin Digugurkan

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mengumumkan rombakan kepimpinan tertinggi gabungan itu dengan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak lagi memegang jawatan utama dalam organisasi berkenaan.

Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penstrukturan semula itu berkuat kuasa serta-merta sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Menurut beliau, keputusan tersebut dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah Fasal 8.3 (V), (VI) dan (VII) Perlembagaan PN.

“Bagi tujuan menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan, saya mengumumkan penstrukturan semula pentadbiran Perikatan Nasional yang berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu malam.

Dalam rombakan itu, Mohd Radzi Md Jidin digugurkan daripada jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dan tempat beliau diambil alih oleh Muhammad Sanusi Md Nor.

Sementara itu, Mohamed Azmin Ali turut tidak lagi menyandang jawatan Timbalan Setiausaha Agung PN.

Kenyataan berkenaan diedarkan kepada media selepas Mesyuarat Pra Persidangan Ahli Parlimen Pembangkang yang berlangsung di Pejabat Agung Parti Islam Se-Malaysia.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri memaklumkan jawatan Bendahari PN yang sebelum ini disandang Muhammad Sanusi kini diisi oleh Subramaniam Surunaryan.

“Jawatan Bendahari yang dikosongkan telah diisi oleh Subramaniam,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu turut mengumumkan bahawa satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh struktur organisasi serta memperkemaskan persiapan menghadapi pilihan raya akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *