“Inti Berkulat, Karipap Hok Zaman Bilo Ni?”
KOTA BHARU – Seorang wanita meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa menemui inti karipap yang berkulat dalam kuih yang dibelinya di Pasar Besar Siti Khadijah di sini.
Menerusi perkongsian video dan gambar di TikTok, pengguna dikenali sebagai Nikaada memaklumkan karipap tersebut dibeli pada waktu pagi sebelum menyedari keadaan inti yang tidak lagi sesuai dimakan.
Menurutnya, dia bernasib baik kerana memeriksa makanan itu terlebih dahulu sebelum menjamahnya.
“Aku ni malas nok (nak) kecek (cakap) huduh (buruk), tapi gak. Beli pagi tadi (semalam) dekat Pasar Siti Khadijah.
“Karipap hok zaman bilo (bila) lagi ni mok cik (mak cik) duk jual. Nasib baik aku ni jenis kekoh (buka) makanan dulu sikit pahtu (lepas tu) tengok baru makan,” katanya pada hantaran berkenaan.
Wanita itu turut memaklumkan bahawa aduan telah dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui emel bagi tindakan lanjut.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai dengan rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan peniaga yang didakwa menjual makanan yang sudah rosak kerana boleh mengundang risiko keracunan makanan kepada pengguna.
Seorang pengguna, Adamdaniyal, mendakwa terdapat kemungkinan sesetengah peniaga menjual semula kuih yang tidak habis dijual sebelum ini.
“Karipap zaman Majapahit ke ni? Ada ore (orang) recycle (kitar semula) kuih lama rupanya. Ingatkan tak habis semua sedekah kokre (pada orang),” komennya.
Seorang lagi pengguna, Fieza, turut berkongsi pengalaman membeli dodol di lokasi sama pada Ramadan lalu yang didakwanya sudah berkulat walaupun baru dibeli.
“Saya kena juga beli dodol dekat Pasar Siti Khadijah bulan puasa hari tu. Beli dodol tiga perasa, pergi pagi lepas berbuka nak makan rasa pelik. Tengah-tengah dah berkulat. Bukan satu berkulat, tiga-tiga dah naik kulat bahagian bucu plastik. Ralat sangat tak perhati betul-betul masa beli sebab masa tu tengah dukung anak,” katanya.
Sementara itu, pengguna lain, Hazma, mendakwa pernah membeli kuih apam polkadot di pasar berkenaan untuk dibawa ke majlis kenduri, namun mendapati kuih tersebut dipenuhi kulat ketika hendak dihidangkan.
“Dah pernah keno, beli kuih apam polkadot di Pasar Besar Siti Khadijah. Beli sebelah pagi niat hati nak bawa pergi rumah orang kenduri. Sampai tempat kenduri, saya buka nak letak atas meja, penuh naik kulat bintik-bintik. Tuhan lah tahu malunya saya kat tuan rumah. Jual kuih zaman bila lah,” komennya.
