“Biarlah Yang Ada Dalam Hati Itu Harimau, Yang Keluar Hanya Kambing” – Zahid
KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin DAP supaya menghormati rakan kerjasama politik serta mengelakkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, setiap parti yang menjadi rakan kongsi politik perlu sentiasa berpegang kepada prinsip kebersamaan dan menjaga sensitiviti antara satu sama lain.
“Mereka perlu belajar menghormati rakan-rakan. Jangan mengeluarkan kenyataan secara semberono.
“Saya tidak fikir semua pemimpin DAP bersikap sedemikian, namun mereka perlu menghormati prinsip perkongsian dalam politik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Ilmuwan Asia Tenggara Ke-4 (The 4th Southeast Asian Scholars Conference 2026) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini pada Jumaat.
Semalam, Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) yang juga Ketua DAPSY Kebangsaan, Woo Kah Leong dilaporkan menyifatkan UMNO sebagai hipokrit dan angkuh susulan pendirian UMNO Johor yang mahu bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang tanpa kerjasama dengan DAP.
Menurut Kah Leong, pendirian UMNO Johor itu bercanggah dengan realiti politik semasa memandangkan parti berkenaan masih merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.
Mengulas perkara itu, Ahmad Zahid berkata, semua pihak perlu lebih matang dalam menyampaikan pandangan bagi mengelakkan tercetusnya ketegangan yang boleh menjejaskan kerjasama sedia ada.
“Rakan kongsi politik perlu menjaga hati antara satu sama lain. Yang lebih penting, jaga lidah supaya tidak mengeluarkan apa yang ada dalam hati.
“Biarlah apa yang ada dalam hati itu harimau, tetapi yang keluar hanya kambing. Itu yang patut dipelajari,” katanya.
