NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Surat Rasmi Bertulisan Cina Tular, Kisah Lama Tahun 2018

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor menjelaskan bahawa isu surat rasmi yang didakwa dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) menggunakan tulisan Cina bukanlah kejadian baharu, sebaliknya berlaku pada tahun 2018 ketika negeri itu berada di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, surat yang kembali tular di media sosial itu jelas menunjukkan ia berkaitan program yang turut melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling ketika itu daripada DAP, Cheo Yee How.

Menurut beliau, dakwaan yang cuba mengaitkan isu berkenaan dengan pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan masyarakat.

“Cubaan untuk menggambarkan seolah-olah perkara ini berlaku di bawah pentadbiran kerajaan Johor hari ini adalah tidak jujur. Fakta menunjukkan insiden tersebut berlaku pada tahun 2018 ketika Johor ditadbir oleh PH,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Jafni berkata selepas isu tersebut timbul pada 2018, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah bertitah dengan tegas supaya semua urusan surat-menyurat rasmi yang melibatkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menggunakan Bahasa Melayu serta tulisan rumi.

Katanya, titah berkenaan sentiasa dijunjung dan dijadikan panduan oleh seluruh jentera pentadbiran negeri sehingga kini.

“Kerajaan Johor di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz sentiasa menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor serta komited memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam semua urusan pentadbiran,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan semula maklumat lama tanpa konteks yang tepat kerana tindakan sedemikian boleh menimbulkan salah faham dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Mohd Jafni turut menegaskan bahawa penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi bukan sahaja selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, malah mencerminkan penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu.

“Kerajaan Johor akan terus memastikan semua agensi di bawah pentadbirannya mematuhi dasar, peraturan dan titah yang ditetapkan demi memelihara kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu, memartabatkan Bahasa Melayu serta mengekalkan keharmonian negeri,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *