NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Majlis Hari Lahir Tema ‘Bunian’ Disiasat Kerana Bercanggah Ajaran Islam

KOTA BHARU – Seorang usahawan dan pempengaruh media sosial dari Kelantan berdepan kemungkinan didenda sehingga RM5,000, dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya didapati bersalah berhubung penganjuran majlis sambutan hari lahir bertemakan ‘Perkampungan Bunian’ yang dilaporkan menelan kos kira-kira RM500,000.

Menurut sumber, tindakan boleh diambil terhadap wanita berusia 34 tahun itu jika Mahkamah Syariah memutuskan beliau bersalah kerana didakwa menggalakkan perbuatan yang bercanggah dengan ajaran Islam menerusi penganjuran majlis berkenaan.

Katanya, siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) kini berada di peringkat akhir sebelum diserahkan kepada Ketua Pendakwa Syarie untuk penelitian lanjut.

“Selepas siasatan dilengkapkan, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Ketua Pendakwa Syarie. Sekiranya terdapat persetujuan untuk pendakwaan, kes akan difailkan di Mahkamah Syariah mengikut Seksyen 12 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya terdapat keperluan untuk mendapatkan maklumat tambahan, pegawai penyiasat boleh memanggil saksi lain bagi membantu melengkapkan siasatan.

Difahamkan, Seksyen 12 enakmen berkenaan memperuntukkan bahawa mana-mana individu yang menasihati, menggalakkan atau menghasut orang lain melakukan perbuatan yang dianggap tidak bermoral atau bertentangan dengan ajaran Islam boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000, hukuman penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebelum ini, media melaporkan wanita berkenaan dipanggil JAHEAIK bagi memberi keterangan berhubung majlis sambutan hari lahir bertemakan “Perkampungan Bunian” yang dianjurkan untuk tiga anak perempuannya.

Majlis yang diadakan di kediamannya di Tumpat itu menjadi perhatian ramai selepas rakaman video dan gambar acara berkenaan tular di media sosial.

Sambutan tersebut menampilkan konsep “Perkampungan Bunian” yang dipercayai diinspirasikan daripada filem berkaitan makhluk mistik, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat dan menarik perhatian pihak berkuasa agama untuk menjalankan siasatan lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *