NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

GSF 2.0: 29 Rakyat Malaysia Ditahan Israel Selamat Tiba Di Turkiye

KUALA LUMPUR – Seramai 29 rakyat Malaysia yang sebelum ini ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza selamat tiba di Turkiye tengah malam tadi waktu Malaysia dengan menaiki penerbangan Turkish Airlines.

Perkembangan itu dimaklumkan menerusi hantaran rasmi di Facebook Sumud Nusantara Official yang turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas doa dan sokongan berterusan sepanjang misi berkenaan.

“Alhamdulillah, semua delegasi kita selamat tiba di Turkiye selepas melalui pelbagai cabaran.

“Terima kasih atas sokongan dan doa yang menjadi kekuatan buat pasukan Sumud Nusantara. Perjuangan ini akan diteruskan dengan semangat yang lebih kuat,” menurut hantaran tersebut.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Sani Araby Abdul Alim Araby memaklumkan Recep Tayyip Erdoğan menaja tiga pesawat Turkish Airlines bagi membawa keluar kesemua 428 aktivis termasuk 29 rakyat Malaysia dari Lapangan Terbang Ramon di Israel ke Istanbul.

Delegasi Malaysia dijadual berlepas pulang ke tanah air esok dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *