PM Australia Diberi Sambutan Rasmi, Perkukuh Hubungan Dua Hala
PUTRAJAYA – Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra sempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia selama tiga hari.
Ketibaan beliau sekitar jam 9.56 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua negara sebagai tanda penghormatan rasmi.
Dalam istiadat tersebut, Albanese turut memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Rejimen Askar Melayu Diraja, mencerminkan protokol rasmi bagi lawatan pemimpin asing ke negara ini.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah beberapa anggota Kabinet serta pegawai kanan kerajaan, selain diplomat asing yang mengikuti perkembangan lawatan rasmi tersebut.
Selepas upacara sambutan, kedua-dua pemimpin dijadual mengadakan pertemuan empat mata diikuti mesyuarat dua hala bagi membincangkan pelbagai isu kepentingan bersama.
Perbincangan dijangka memberi tumpuan kepada kerjasama strategik termasuk keselamatan tenaga, rantaian bekalan serta situasi geopolitik semasa yang memberi kesan kepada rantau ini.
Kedua-dua negara juga dijangka menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai langkah memperkukuh hubungan Malaysia-Australia yang telah lama terjalin dalam pelbagai bidang.
