Kerajaan Ambil Langkah Intervensi, Teroka Sumber Alternatif Tangani Kenaikan Kos
JOHOR BAHRU: Kerajaan akan melaksanakan langkah intervensi serta meneroka sumber alternatif bagi menangani kemungkinan tekanan bekalan dan kenaikan harga, khususnya melibatkan ubat-ubatan dan peranti kesihatan.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata usaha itu penting bagi memastikan bekalan kekal stabil dan tidak terjejas oleh kesan krisis tenaga global serta gangguan rantaian bekalan.
Menurut beliau, antara pendekatan yang dipertimbangkan termasuk penggunaan bahan alternatif dalam pembuatan peranti perubatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber sedia ada.
Katanya, langkah proaktif perlu diambil lebih awal bagi mengelakkan gangguan bekalan yang boleh memberi kesan besar kepada sistem kesihatan negara, terutama menjelang pertengahan tahun apabila tekanan kos dijangka meningkat.
Kerajaan juga mengakui bahawa kenaikan harga tenaga memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran ubat dan peranti perubatan, sekali gus mendorong peningkatan harga di pasaran.
Sehubungan itu, agensi berkaitan diminta meneliti secara menyeluruh rantaian bekalan serta merangka langkah intervensi segera bagi memastikan kestabilan bekalan dapat dikekalkan.
Langkah ini dilihat sebagai usaha awal kerajaan dalam menghadapi cabaran global, selain memastikan rakyat terus mendapat akses kepada keperluan kesihatan pada harga berpatutan.
