Mat Sabu Nasihat Rakyat Elak Beli Beras Secara Panik
SRI AMAN: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli beras melebihi keperluan bulanan kerana bekalan bahan makanan itu di negara ini masih mencukupi dan stabil.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pembelian secara panik hanya akan menimbulkan persepsi kekurangan bekalan di pasaran walaupun keadaan sebenar adalah terkawal.
Menurut beliau, pengguna perlu mengekalkan corak pembelian seperti biasa dan tidak menyimpan stok berlebihan kerana tindakan itu boleh menjejaskan kestabilan pasaran serta membuka ruang kepada kenaikan harga.
“Jika kebiasaan membeli dua kampit beras sebulan, kekalkan jumlah itu dan tidak perlu menambah sehingga empat atau lima kampit,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan memberi jaminan bekalan beras negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini, sekali gus menepis kebimbangan orang ramai.
Dalam masa sama, pembelian secara berlebihan boleh memberi kesan rantaian termasuk kekurangan sementara di pasaran serta manipulasi harga oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Sehubungan itu, orang ramai digesa agar berbelanja secara berhemah dan tidak terpengaruh dengan situasi global yang boleh mencetuskan pembelian panik.
Langkah ini penting bagi memastikan kestabilan bekalan makanan negara terus terpelihara serta mengelakkan gangguan kepada pasaran domestik.
