ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

256 Individu Diperiksa Di Forest City Guna Pas Lawatan Sosial, Tiada Warga Israel

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia memaklumkan seramai 256 daripada 266 warga asing yang diperiksa di Forest City, Johor berikutan isu operasi Network School didapati menggunakan Pas Lawatan Sosial, manakala 10 lagi memegang Pas PLIK (Nomad).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, daripada 10 pemegang Pas PLIK (Nomad) itu, empat merupakan warganegara Amerika Syarikat, tiga warga Rusia, dua warga Australia dan seorang warga India.

Pemeriksaan yang dijalankan turut melibatkan dua warganegara Malaysia.

Beliau menjelaskan Pas PLIK (Nomad) merupakan pas yang dikeluarkan Jabatan Imigresen kepada golongan profesional digital yang bekerja di Malaysia.

Menurut Zakaria, keseluruhan pemeriksaan melibatkan 179 lelaki dewasa dan 87 wanita dewasa daripada 40 negara.

“Setakat ini, siasatan terhadap dakwaan yang dibangkitkan masih diteruskan. Beberapa agensi kerajaan turut menjalankan siasatan mengikut bidang kuasa dan peranan masing-masing.

“Bagi pihak Imigresen, kami akan meneruskan siasatan dan berkongsi dapatan dengan agensi berkaitan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini, Zakaria memaklumkan dakwaan terdapat warga Israel yang menyertai program Network School di Forest City menggunakan pasport negara kedua masih belum dapat disahkan kerana tiada bukti ditemui setakat ini.

Beliau berkata, siasatan yang dijalankan oleh agensi berkaitan masih diteruskan bagi mendapatkan gambaran menyeluruh sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.

Isu operasi Network School di Forest City menjadi perhatian selepas Kerajaan Johor menyuarakan kebimbangan berhubung dakwaan penyertaan warga Israel dalam program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan agensi keselamatan berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi program itu.

Susulan itu, KDN mengesahkan semakan dan siasatan sedang dijalankan oleh Jabatan Imigresen, PDRM serta agensi berkaitan.

Kementerian turut menegaskan bahawa aspek keselamatan negara dan pematuhan undang-undang tidak akan dikompromi, selain mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.

Kontroversi berhubung Network School tercetus selepas beberapa hantaran di media sosial mendakwa projek berkenaan menarik penyertaan usahawan asing, termasuk warga Israel yang dipercayai memasuki Malaysia menggunakan pasport negara kedua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *