SELANGOR – Polis menerima 19 laporan berhubung seorang individu yang didakwa menyamar sebagai Pengawal Peribadi Sulit kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, bagi memperdaya orang ramai dalam urusan penjualan tanah dan kenderaan mewah.
Kes itu sebelum ini mendapat perhatian selepas individu berkenaan didakwa menggunakan nama serta gambar institusi diraja untuk meyakinkan orang ramai ketika menjalankan urusan berkaitan hartanah dan kenderaan.
Dalam laporan terdahulu pada 19 Oktober, polis memaklumkan lima laporan telah diterima, melibatkan empat mangsa yang mengalami kerugian keseluruhan RM670,000. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan penipuan.
Pentadbiran Istana Selangor sebelum ini menegaskan bahawa pihaknya memandang serius perkara tersebut dan menyerahkan siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Istana turut menegaskan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat.
Orang ramai dinasihatkan supaya membuat pengesahan melalui saluran rasmi Istana Selangor sekiranya berurusan dengan individu yang mendakwa mempunyai hubungan atau kedudukan dalam institusi diraja, khususnya sebelum membuat sebarang transaksi kewangan.
Sumber : Astro Awani
Foto : Utusan Malaysia









