KOTA BHARU – Aktivis masyarakat, Mohd Azhar Mohd Adnan atau lebih dikenali sebagai Abbe Hae, bimbang Kelantan berdepan peningkatan kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dan komuniti Rohingya sekiranya isu itu tidak ditangani secara serius.
Pengasas Pertubuhan Jejak Jalanan itu berkata, beliau menerima banyak maklumat daripada masyarakat mengenai kehadiran komuniti berkenaan, khususnya di Kota Bharu, Tanah Merah, Kuala Krai dan Pasir Mas yang menurut pemantauannya mencatatkan kehadiran paling tinggi.
Beliau menjelaskan kebimbangan penduduk bukan kerana komuniti Rohingya dianggap mengancam nyawa, sebaliknya berkaitan pertambahan mereka di kawasan tertentu yang dikatakan menimbulkan keresahan setempat.
Antara lokasi yang dikunjungi Abbe Hae ialah Tanah Merah, apabila beliau mendakwa melihat tanah melebihi dua hektar disewakan kepada komuniti Rohingya untuk tanaman sireh. Beliau turut mendakwa terdapat penduduk yang menyewakan kediaman di tanah rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kepada komuniti berkenaan.
Abbe Hae menggesa pihak berkuasa, kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama menangani isu tersebut. Beliau turut mengingatkan supaya tiada penguat kuasa menyalahgunakan amanah dalam mengendalikan perkara berkaitan PATI dan Rohingya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abbe Hae dan 15 individu lain dilaporkan ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu sebelum dibebaskan pada tengah hari keesokannya. Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, pula mengesahkan dua kertas siasatan dibuka berhubung isu tular melibatkan seorang aktivis media sosial dan isu berkaitan komuniti Rohingya di negeri itu.









