Home / Malaysia / SPRM TOLAK DAKWAAN SIASATAN DUA DARJAT, TEGAS SETIAP KES DINILAI BERDASARKAN FAKTA

SPRM TOLAK DAKWAAN SIASATAN DUA DARJAT, TEGAS SETIAP KES DINILAI BERDASARKAN FAKTA

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak dakwaan Penasihat DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa agensi itu mengamalkan siasatan secara dua darjat atau double standard dalam mengendalikan kes melibatkan pihak berbeza.

Menerusi kenyataan pada Jumaat, SPRM menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai tidak berasas dan tidak mencerminkan prinsip profesionalisme, integriti serta tatacara kerja yang menjadi pegangan agensi tersebut.

SPRM turut menjelaskan bahawa siasatan berhubung isu perbelanjaan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) yang melibatkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah dimulakan pada 7 Oktober lalu.

Setakat ini, seramai 20 saksi daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan. Proses berkenaan masih diteruskan dengan penelitian terhadap segala maklumat dan keterangan yang diperoleh.

Dakwaan Guan Eng sebelum ini timbul apabila beliau mempersoalkan tindakan SPRM yang dilihat segera menyiasat kontroversi pelanjutan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), sedangkan isu perbelanjaan berlebihan RM2.1 bilion oleh KKDW didakwa tidak menerima tindakan yang sama.

Beliau turut membangkitkan bahawa laporan berkaitan isu perbelanjaan KKDW telah dibuat oleh Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin pada 6 Oktober 2026.

Mengulas perkara itu, SPRM menegaskan bahawa setiap siasatan dijalankan berdasarkan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang tanpa mengambil kira kedudukan, pangkat atau latar belakang mana-mana individu.

SPRM pada masa sama menghormati hak masyarakat untuk mengemukakan pandangan dan kritikan, namun menegaskan bahawa setiap dakwaan perlu berasaskan fakta sahih serta disampaikan secara bertanggungjawab.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *