KUALA LUMPUR: Pemilik tanah persendirian tidak dibenarkan merobohkan sendiri rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran di atas tanah mereka, sebaliknya perlu menggunakan saluran undang-undang yang ditetapkan.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata tindakan perobohan secara sendiri perlu dielakkan bagi mengurangkan risiko berlakunya ketegangan kaum atau agama.
Menurut kementerian, pemilik tanah yang berdepan situasi itu perlu membuat laporan polis dengan segera, mengeluarkan notis kepada pihak yang membina rumah ibadat serta memaklumkan perkara tersebut kepada Pejabat Daerah atau pihak berkuasa tempatan (PBT).
Semua rumah ibadat tertakluk undang-undang sama
KPKT menegaskan bahawa semua rumah ibadat, termasuk masjid, gereja, tokong dan kuil, tertakluk kepada undang-undang pembinaan yang sama.
Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 menetapkan bahawa tiada mana-mana bangunan boleh didirikan tanpa mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada PBT.
Tiada pengecualian atau keistimewaan diberikan kepada mana-mana agama dalam perkara berkenaan.
Sekiranya PBT mendapati sesebuah bangunan telah atau sedang dibina tanpa kebenaran, Seksyen 72(1) akta sama membolehkan notis dikeluarkan untuk menghentikan pembinaan dan mengarahkan bangunan itu diruntuhkan dalam tempoh ditetapkan.
1,305 aduan diterima sejak 2025
KPKT turut memaklumkan bahawa PBT menerima sebanyak 1,305 aduan berkaitan pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran bagi tempoh 2025 hingga 2026.
Daripada jumlah itu, sebanyak 114 aduan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Daerah kerana perkara tersebut berada di bawah bidang kuasa jabatan berkenaan.
Susulan aduan yang diterima, sebanyak 197 operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh PBT, membabitkan 432 tindakan penguatkuasaan.
Tindakan itu merangkumi pengeluaran notis amaran, kompaun, arahan berpindah serta perobohan.
Tanah kerajaan di bawah Pejabat Tanah
Bagi rumah ibadat yang dibina secara tidak sah di atas tanah kerajaan, tindakan penguatkuasaan pula berada di bawah bidang kuasa Pejabat Tanah dan Daerah serta kerajaan negeri.
Pejabat Tanah dan Daerah boleh mengeluarkan notis terhadap penceroboh atau pihak yang menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran berdasarkan Kanun Tanah Negara 1965.
Bagi kes di tanah persendirian, Jawatankuasa Keselamatan Daerah juga boleh diaktifkan sebagai pengantara bagi memanggil pihak-pihak terlibat dan mencari penyelesaian yang munasabah.
KPKT berkata setiap aduan akan terus disemak dan tindakan sewajarnya diambil secara berterusan bagi memastikan pembangunan serta penggunaan tanah tanpa kebenaran dapat dikawal, khususnya jika melibatkan keselamatan dan kepentingan awam.









