SHAH ALAM: Kes saman fitnah yang difailkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, terhadap Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dan dua pemimpinnya selesai selepas semua defendan memohon maaf tanpa syarat serta bersetuju membayar kos RM100,000.
Penghakiman persetujuan itu direkodkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Anita Harun pada 16 November.
Dua individu yang dinamakan bersama MHO ialah Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim, dan Azirul Syafiq Sazali.
Mohon maaf kepada Mashitah dan suami
Menerusi penghakiman itu, defendan bersetuju memohon maaf secara ikhlas dan tanpa syarat kepada Mashitah serta suaminya, Datuk Abdul Shakor Abu Bakar.
Permohonan maaf itu berkaitan kenyataan yang diterbitkan pada Ogos dan September 2024 yang mengaitkan pasangan berkenaan dengan isu pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran di Myanmar.
Dalam penyelesaian tersebut, MHO dan dua pemimpinnya mengakui berlaku kekhilafan apabila merujuk penerbitan beberapa pihak lain, termasuk Justice For Myanmar, Irrawaddy Post, Scoop.com serta laporan United States Institute of Peace.
Akui kenyataan jejaskan reputasi
Defendan turut mengakui penerbitan berkenaan telah mencemarkan nama baik, menjejaskan reputasi serta memberikan tekanan tidak wajar kepada Mashitah dan suaminya.
Sebagai sebahagian daripada penyelesaian, mereka bersetuju untuk tidak lagi memuat naik, menerbitkan, menyiarkan atau berkongsi dakwaan berkaitan Mashitah menerusi mana-mana medium.
Mereka juga bersetuju tidak mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung tuduhan yang menjadi subjek saman tersebut.
Bayar kos RM100,000, tuntutan balas ditarik balik
Selain permohonan maaf, ketiga-tiga defendan perlu membayar kos RM100,000 kepada Mashitah.
Tuntutan balas yang sebelum ini dikemukakan terhadap Mashitah turut ditarik balik tanpa kos.
Kedua-dua pihak bersetuju bahawa penghakiman persetujuan itu merupakan penyelesaian penuh dan muktamad terhadap tuntutan saman serta tuntutan balas dalam kes berkenaan.
Saman difailkan pada September 2024
Mashitah memfailkan saman berkenaan pada 9 September 2024 selepas mendakwa beberapa klip video dan kenyataan media yang diterbitkan di media sosial mengaitkannya dengan sindiket pemerdagangan manusia di luar negara.
Antara kandungan yang dipertikaikan termasuk video dan sidang media yang mengaitkan nama beliau dengan isu pemerdagangan manusia dan penipuan di Myanmar.
Dalam tuntutannya, Mashitah memohon permohonan maaf, ganti rugi serta injunksi bagi menghalang penerbitan lanjut kenyataan yang didakwanya memfitnah.
Dengan penghakiman persetujuan itu, pertikaian antara kedua-dua pihak kini dianggap selesai sepenuhnya.









