HULU SELANGOR – Seorang mangsa kejadian kepala air di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu ditemukan meninggal dunia awal pagi Selasa, manakala tujuh lagi individu masih hilang selepas dihanyutkan arus deras.
Mangsa yang ditemukan merupakan lelaki tempatan dan dijumpai di kawasan Jambatan Pertak kira-kira jam 1.30 pagi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar mengesahkan penemuan tersebut ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan bagi mengesan mangsa lain.
Menurut beliau, operasi pencarian dibahagikan kepada empat sektor, meliputi kawasan dari Lata Jebus ke Lubuk Pertak, Lubuk Pertak ke Jambatan Dam, kawasan Jambatan Dam serta kawasan empangan.
Terdahulu, kejadian kepala air pada petang Isnin melibatkan beberapa kumpulan berasingan di kawasan Sungai Pertak. Lapan individu dilaporkan dihanyutkan arus deras, manakala 19 lagi terkandas di beberapa lokasi.
Kesemua 19 individu yang terkandas berjaya dibawa turun ke kawasan selamat sekitar jam 12.16 tengah malam.
Operasi SAR kini diteruskan bagi mengesan baki tujuh mangsa yang masih belum ditemukan.
Sumber : Sinar Harian
Foto : JBPM









