MERSING – Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun ditemukan meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum terjatuh ke dalam Sungai Jemaluang, berhampiran Jalan Sekakap, Seri Pantai, pada malam Khamis.
Mangsa, yang dikenali sebagai Ahmad Danish Zaquan Ahmad Yazir, ditemukan oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada jam 7.55 pagi Jumaat.
Mayat mangsa ditemukan kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir dia dipercayai terjatuh ke sungai.
Menurut Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 11.26 malam Khamis sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing dikerahkan ke lokasi.
Operasi pencarian pada awalnya dilakukan di sepanjang tebing sungai sebelum bantuan Pasukan Penyelamat Di Air dari BBP Skudai diminta pada jam 12.45 tengah malam. Pasukan berkenaan tiba pada jam 2.41 pagi untuk meneruskan operasi mencari dan menyelamat.
Seramai 15 anggota bomba dari BBP Mersing dan Skudai terlibat dalam operasi tersebut dengan menggunakan beberapa kenderaan penyelamat serta sebuah bot.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani turut mengesahkan kejadian itu. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Mersing.
Mangsa dipercayai berasal dari Pasir Gudang dan merupakan pelajar GiatMARA Mersing.
Sumber : BERNAMA
Foto : Sinar Harian









