JAKARTA – Ratusan penunjuk perasaan, termasuk mahasiswa dan aktivis masyarakat sivil, berhimpun di Jakarta bagi membantah pengendalian krisis kebakaran hutan dan jerebu yang semakin membimbangkan di Indonesia.
Demonstrasi itu turut menyaksikan peserta mendesak kerajaan mengisytiharkan kebakaran hutan dan tanah di Sumatera serta Kalimantan sebagai bencana nasional, selain menuntut tindakan lebih tegas bagi menangani pencemaran udara.
Ada peserta memakai topeng muka ketika berhimpun sebagai simbol bantahan terhadap keadaan udara tercemar yang menjejaskan kesihatan penduduk. Bantahan turut menyentuh isu kos sara hidup dan pengurusan kerajaan.
Krisis kebakaran berkenaan menyebabkan jerebu merebak ke beberapa kawasan di Asia Tenggara, termasuk Malaysia dan Singapura. Data Kementerian Kesihatan Indonesia yang dilaporkan Associated Press menunjukkan lebih 333,470 kes penyakit pernafasan akut direkodkan di tujuh wilayah terjejas sejak pertengahan Ogos.
Sementara itu, kerajaan Indonesia memaklumkan lebih 70,000 anggota telah digerakkan untuk memadam kebakaran, selain siasatan dijalankan terhadap syarikat dan individu yang disyaki terbabit dalam pencetus kebakaran.
Sumber : Harian Metro









