PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, akan dikembalikan ke pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas keputusan menamatkan penempatan secara pinjamannya di agensi itu dibuat minggu lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan perkara itu ketika ditemui selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya, hari ini.
Menurut beliau, keputusan berkenaan telah dibuat, manakala urusan berkaitan penamatan penempatan sebelum ini dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendapatkan nasihat perundangan.
Penugasan Shuhaily di AKPS sebelum ini berdasarkan kontrak peminjaman kader daripada PDRM selama dua tahun yang memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Sebarang tindakan berkaitan penamatan kontrak perlu melalui proses yang ditetapkan.
Perkembangan itu menyusul selepas Shuhaily, 54, mengaku tidak bersalah pada 21 Oktober lalu terhadap dua pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan kepada dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 28 September lalu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, polis telah merakam keterangan 25 saksi sebelum kertas siasatan dikemukakan kepada AGC. Pada 17 Oktober lalu, Saifuddin memaklumkan bahawa AGC meminta beberapa penambahbaikan, termasuk penjelasan tambahan dan tindakan siasatan lanjut.









