Home / Politik / Dewan Rakyat Tumpu Status Baki Liabiliti 1MDB Dan Kuota BUDI95

Dewan Rakyat Tumpu Status Baki Liabiliti 1MDB Dan Kuota BUDI95

KUALA LUMPUR – Status penyelesaian baki liabiliti bersih 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dianggarkan berjumlah RM20.1 bilion serta isu subsidi petrol BUDI95 antara perkara yang menjadi tumpuan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Parlimen, Ahli Parlimen Ipoh Timor, Lee Chuan How, dijadual meminta Menteri Kewangan menjelaskan nilai aset dan tuntutan 1MDB yang masih dalam proses pemulihan, termasuk sasaran penyelesaian tanggungan berkenaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, dijadual membangkitkan justifikasi pelarasan kuota BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter yang pernah dilaksanakan sebelum dinaikkan semula kepada 300 liter mulai 1 September 2026.

Persidangan turut memberi perhatian kepada operasi pusat data, perancangan menaik taraf jalan raya susulan pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta langkah menangani keciciran pembelajaran dalam kalangan murid miskin tegar.

Selepas sesi pertanyaan lisan, Dewan Rakyat dijadual menyambung sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 oleh kementerian berkaitan.

Sumber: BERNAMA / Astro AWANI

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *