KUANTAN – Dr Siti Hawa Apandi, 37, individu pertama di Malaysia yang menghidap Spinal Muscular Atrophy (SMA) dan berjaya menamatkan pengajian tinggi secara berterusan di universiti yang sama, meninggal dunia pada Selasa.
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerusi hantaran di Facebook menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham, yang merupakan alumni Fakulti Komputeran universiti berkenaan.
Allahyarham turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR) atas pencapaiannya menamatkan pengajian tinggi daripada peringkat diploma sehingga Doktor Falsafah (PhD) di satu universiti yang sama.
Perjalanan akademiknya bermula di UMPSA pada 2007. Beliau kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Perisian di peringkat ijazah sarjana muda, diikuti Sarjana Sains Komputer sebelum memperoleh PhD dalam bidang Kepintaran Buatan (AI).
Sejak kecil, Allahyarham menghidap SMA, penyakit genetik jarang berlaku yang menyebabkan kelemahan otot secara progresif sehingga beliau bergantung sepenuhnya pada kerusi roda. Namun, keadaan itu tidak menghalangnya daripada mencapai kecemerlangan akademik.
Antara pengiktirafan yang diterimanya termasuk Heitech Industry Excellence Award 2013 dan Anugerah Kecemerlangan Inklusif Abdullah Bin Ummi Maktum ketika pengajian PhD.
Pada tahun lalu, Allahyarham turut dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, akibat jangkitan bakteria dan menghabiskan kira-kira 50 hari di sana.
Allahyarham dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Kuantan pada Selasa.
Sumber : Bernama









