Home / Malaysia / Dr Mahathir Tegur Sikap Mahu Untung Cepat, Jejas Kemajuan Ekonomi Melayu

Dr Mahathir Tegur Sikap Mahu Untung Cepat, Jejas Kemajuan Ekonomi Melayu

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegur sikap segelintir masyarakat Melayu yang memilih jalan pintas untuk meraih keuntungan segera sehingga sanggup mengetepikan nilai kejujuran, amanah dan terlibat dalam rasuah.

Menurut beliau, sikap tersebut menjadi antara penghalang kepada kemajuan ekonomi masyarakat Melayu, khususnya di empat negeri SG4 iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Teguran itu disampaikan menerusi teks ucapan pada Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 2026 di Kuala Lumpur, Isnin. Ucapan berkenaan dibacakan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir, kerana negarawan berusia 101 tahun itu tidak dapat hadir atas faktor kesihatan.

Dr Mahathir menegaskan masyarakat Melayu sebenarnya mempunyai potensi besar untuk berjaya dalam bidang perniagaan sekiranya mengamalkan sepenuhnya prinsip Islam, khususnya kejujuran dan amanah yang mampu membina kepercayaan pelanggan serta rakan perdagangan.

Beliau turut mengingatkan bahawa Islam melarang perbuatan menipu dan mencuri, selain menekankan kepentingan usaha sendiri dalam mengubah nasib masyarakat.

Dalam masa sama, Dr Mahathir menggesa negeri-negeri SG4 memberikan komitmen sepenuhnya untuk mengejar, malah mengatasi pembangunan ekonomi negeri-negeri Pantai Barat selepas ketinggalan selama beberapa dekad.

Menurutnya, SG4 memiliki kelebihan dari segi keluasan tanah, jumlah penduduk dan infrastruktur untuk berkembang sebagai kawasan ekonomi produktif. Bagaimanapun, pembangunan itu memerlukan pengetahuan, kepakaran serta perancangan mampan bagi merealisasikan potensi sebenar negeri-negeri berkenaan.

Sumber : Sinar Harian

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *