Home / Malaysia / Menteri Bidas Kumpulan Kibarkan Jalur Gemilang Terbalik di Australia

Menteri Bidas Kumpulan Kibarkan Jalur Gemilang Terbalik di Australia

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud membidas tindakan sekumpulan rakyat Malaysia yang dipercayai berasal dari Sabah dan Sarawak kerana mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik ketika demonstrasi di Melbourne, Australia pada 24 Oktober lalu.

Kumpulan yang dikenali sebagai Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) Australia itu mengadakan demonstrasi di hadapan Bangunan Parlimen Victoria bersempena Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mustapha berkata, tindakan berkenaan tidak mencerminkan budaya masyarakat Sabah dan Sarawak yang terkenal dengan adab serta kesantunan, malah berisiko menjejaskan reputasi rakyat Malaysia yang belajar dan bekerja di Australia.

Beliau turut menggesa orang ramai membuat laporan polis supaya kandungan media sosial berkaitan insiden itu dapat disiasat mengikut undang-undang.

Menurutnya, kebebasan bersuara tetap dijamin kerajaan, namun setiap individu perlu bertanggungjawab terhadap tindakan masing-masing.

Mengulas isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Mustapha berkata sebanyak 12 daripada 16 perkara berkaitan perjanjian itu telah diselesaikan dalam tempoh hampir empat tahun pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemberian khas interim Sabah juga meningkat daripada RM26.7 juta kepada RM1.5 bilion setahun, manakala rundingan berhubung tuntutan 40 peratus hasil bersih yang dikutip kerajaan Persekutuan di Sabah masih diteruskan.

Mustapha menegaskan hak Sabah dan Sarawak kini boleh dibincangkan secara terbuka dan rakyat boleh menilai hasil perjuangan melalui rundingan serta tindakan, bukannya provokasi.

Gambar Tular

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *