KUCHING – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubarkan berkuat kuasa pada 26 Oktober ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Yang di-Pertua Negeri Sarawak telah memperkenankan permohonannya untuk membubarkan DUN selaras dengan Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak.
Beliau berkata, pembubaran itu membolehkan rakyat memilih kerajaan baharu dengan mandat untuk meneruskan agenda pembangunan negeri.
Menurut Abang Johari, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran, manakala DUN baharu hendaklah bersidang tidak lewat daripada 120 hari dari tarikh berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dimaklumkan mengenai pembubaran itu bagi membolehkan persiapan pilihan raya dilaksanakan.
Dalam tempoh peralihan tersebut, kerajaan negeri akan berfungsi sebagai kerajaan sementara, manakala perkhidmatan penting akan diteruskan bagi memastikan kebajikan dan keperluan rakyat tidak terjejas.
Abang Johari turut menyeru semua parti politik, calon dan penyokong supaya menghormati undang-undang serta bertindak secara bertanggungjawab sepanjang proses pilihan raya demi memelihara keamanan dan keharmonian Sarawak.
Sumber : Utusan Malaysia









