SHAH ALAM – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, mengkritik pelancaran aplikasi navigasi tempatan TuJu sebagai alternatif kepada Waze, dengan menyifatkan keadaan itu sebagai sesuatu yang memalukan negara susulan aduan pengguna mengenai kelemahan fungsi aplikasi berkenaan.
Guan Eng berkata beliau menyokong usaha kerajaan melindungi keselamatan negara dan data pergerakan rakyat. Namun, menurutnya, penilaian menyeluruh serta ujian ketat sepatutnya dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan TuJu mampu memenuhi keperluan asas navigasi jalan raya.
Beliau turut meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelaskan kos pembangunan TuJu dan menilai semula perancangan aplikasi itu. Guan Eng mendakwa kerajaan mungkin menerima nasihat yang tidak tepat mengenai kemampuan teknologi berkenaan.
Kritikan itu timbul selepas kerajaan mengarahkan penjawat awam menghentikan penggunaan Waze bagi urusan rasmi susulan kebimbangan keselamatan maklumat dan data pergerakan. Bagaimanapun, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) turut memaklumkan TuJu mengalami gangguan selepas lonjakan pengguna dan memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.
LLM berkata pihaknya akan bekerjasama dengan penyedia aplikasi untuk mengenal pasti punca gangguan serta menambah baik kestabilan sistem, ketepatan maklumat laluan dan pengalaman pengguna.
Foto : MalaysiaKini









