101.66 Juta Panggilan Penipuan Disekat MCMC Sejak Februari
KULAI – Panggilan daripada nombor yang nampak seperti nombor tempatan mungkin tidak semestinya datang daripada pihak yang kita sangka.
Sejak Februari hingga Ogos lalu, sebanyak 101.66 juta panggilan penipuan atau spoof call berjaya disekat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pencapaian itu dibuat menerusi pelaksanaan Inter Operator Spoofing Gateway, yang diperkenalkan sejak awal tahun ini.
Taktik yang digunakan sindiket ialah Caller ID Spoofing, iaitu memaparkan nombor telefon seolah-olah datang daripada syarikat telekomunikasi tempatan. Cara ini digunakan untuk membuatkan panggilan kelihatan lebih meyakinkan sebelum mangsa diperdayakan.
Menurut Teo, jumlah panggilan yang berjaya disekat itu menunjukkan inisiatif berkenaan membantu mengekang panggilan penipuan daripada sampai kepada pengguna.
Dalam perkembangan sama, MCMC dijadualkan mengadakan perbincangan dalam talian bersama Meta berkaitan aduan orang ramai mengenai akaun WhatsApp yang disekat.
Pertemuan itu bertujuan mendapatkan penjelasan lebih terperinci daripada Meta berhubung isu berkenaan, selepas MCMC sebelum ini mengemukakan kes terbabit kepada syarikat berkenaan untuk tindakan sewajarnya.
Sumber : BERNAMA
Foto : The Edge
