Dakwaan Hubungan Dengan Pelajar: Guru Wanita Diasingkan Sementara Siasatan
KUALA LUMPUR – Dakwaan hubungan terlarang antara seorang guru wanita dan pelajar lelaki berusia 17 tahun kini mendapat perhatian Kementerian Pendidikan (KPM), di mana guru berkenaan telah diasingkan daripada persekitaran sekolah sementara siasatan dijalankan.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, berkata guru yang berdepan dakwaan berkaitan hubungan terlarang atau gangguan seksual terhadap murid tidak akan terus ditugaskan di sekolah.
Sebaliknya, guru terbabit akan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sepanjang tempoh siasatan.
Menurut Mohd Azam, langkah itu merupakan tindakan awal KPM bagi memastikan guru berkenaan tidak lagi mempunyai urusan secara langsung dengan murid ketika siasatan berlangsung.
Kes terbabit sebelum ini dilaporkan selepas keluarga remaja berusia 17 tahun itu serta pihak sekolah mengetahui mengenai kewujudan video yang dipercayai membabitkan guru wanita berusia 30-an berkenaan.
Berdasarkan maklumat yang dilaporkan, hubungan itu dipercayai berlaku sejak tahun lalu.
Pelajar terbabit mendakwa guru berkenaan pada awalnya mengajaknya keluar untuk berjalan-jalan dan makan sebelum membawanya ke sebuah hotel di Seri Kembangan.
Mereka juga didakwa beberapa kali mendaftar masuk ke hotel di kawasan berkenaan selain bertemu di kediaman guru tersebut.
Dakwaan turut melibatkan perbuatan seksual serta rakaman menggunakan telefon bimbit.
Bagaimanapun, perkara berkenaan masih berada dalam proses siasatan dan segala dakwaan perlu melalui proses sewajarnya.
Mohd Azam turut menjelaskan bahawa tindakan KPM boleh berubah mengikut perkembangan kes.
Sekiranya laporan polis dibuat dan kes bergerak sehingga ke peringkat sebutan di mahkamah, guru berkenaan boleh dikenakan tahan kerja, dengan hanya menerima separuh daripada gaji sepanjang tempoh tersebut.
Jika mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman dan mendapati guru terbabit bersalah, tindakan seterusnya akan tertakluk kepada hukuman mahkamah serta proses tatatertib KPM, termasuk kemungkinan dikenakan tindakan buang kerja.
Menurut Mohd Azam, pengasingan daripada sekolah merupakan prosedur biasa yang dilaksanakan KPM bagi menangani kes yang melibatkan dakwaan seumpama itu.
Sumber : Berita Harian
Foto : BERNAMA
