Penyelidik Digesa Kerjasama Dengan Telco Bagi Dana R&D, Manfaatkan NADI
KUALA LUMPUR – Golongan penyelidik dan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini diseru memperkukuh kerjasama strategik dengan syarikat telekomunikasi (telco) tempatan bagi mendapatkan pembiayaan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata gesaan itu dibuat kerana syarikat telco mempunyai peruntukan khusus bagi R&D dalam menyokong inovasi berkaitan ketersambungan dan teknologi.
“Usah hanya memohon daripada Kementerian Komunikasi, dan mohonlah daripada syarikat telekomunikasi.
“Syarikat telekomunikasi ini memahami penuntut dan penyelidik, terutama penuntut tahun pertama merupakan pengguna semasa dan masa depan bagi perkhidmatan mereka. Mereka perlu berada dekat dengan tempat yang membentuk masa depan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi pleno bertajuk Merangka Laluan Malaysia Menuju 2030: Penyelidikan, Inovasi dan Pelaburan Pembangunan Negara sempena Sidang Kemuncak Pelaburan Penyelidikan dan Inovasi Universiti (URIIS) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Sidang kemuncak itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang juga antara ahli panel sesi berkenaan.
Dalam pada itu, Fahmi menggalakkan penyelidik memanfaatkan 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara sebagai ‘makmal hidup’ untuk menguji serta membangunkan inovasi bersama komuniti luar bandar.
Beliau berkata fungsi NADI kini berkembang daripada penyediaan akses Internet kepada hab e-dagang, pusat kemahiran dan saluran bantuan kerajaan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
“Dahulu, NADI hanyalah untuk menyediakan kesambungan Internet, komputer dan mesin fotostat. Kini, kita dapat mendidik komuniti yang kebanyakannya tinggal antara tiga hingga lima kilometer dari NADI, mengenai cara jualan barangan di platform seperti TikTok Shop dan Shopee,” katanya.
Sebagai contoh, beliau berkata seorang peniaga roti di Dengkil berjaya menjana pendapatan RM45,000 sebulan hasil bimbingan di NADI.
Fahmi berkata akses Internet di kawasan luar bandar juga boleh berperanan sebagai alat kejuruteraan sosial dalam membantu mengurangkan penghijrahan penduduk ke bandar.
Beliau berkata kelajuan Internet di NADI Felda Soeharto dan Kampung Sim-Sim kini mencecah 1 Gbps, malah mengatasi kelajuan Internet di Parlimen.
Sehubungan itu, Fahmi menasihati golongan penyelidik supaya tidak hanya berada dalam lingkungan ‘menara gading’, sebaliknya memahami realiti masyarakat dan keperluan sebenar negara dalam menghasilkan penyelidikan serta inovasi yang memberi impak.
