ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

MalaysiaTerkini

Yasin Sulaiman Mohon Maaf, Tarik Balik Kenyataan Mengenai Kehidupan Dalam Penjara

SHAH ALAM : Penyanyi dan komposer lagu, Yasin Sulaiman tampil memohon maaf secara terbuka kepada Jabatan Penjara Malaysia selepas kenyataannya mengenai pengalaman ketika berada di dalam penjara sebelum ini menimbulkan kekeliruan.

Yasin turut menarik balik kenyataan yang pernah dikongsikannya menerusi beberapa podcast dan temu bual, termasuk dakwaan bahawa banduan masih boleh mendapatkan bekalan dadah dengan mudah ketika menjalani hukuman di penjara.

Menurut Yasin, perkongsian tersebut dibuat berdasarkan pengalaman dan perkara yang difahaminya ketika melalui tempoh berkenaan.

Beliau berkata, selepas mengambil maklum penjelasan daripada Jabatan Penjara Malaysia serta menilai semula keadaan yang dilaluinya ketika itu, beliau mengambil keputusan untuk menarik balik kenyataan berkenaan.

Yasin turut mengakui kesal sekiranya perkongsiannya sebelum ini telah menimbulkan kekeliruan atau salah faham dalam kalangan masyarakat.

Dalam kenyataan sama, Yasin menjelaskan bahawa pada ketika berada di dalam penjara, beliau sedang mengalami episod bipolar mania sebelum mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Menurutnya, keadaan tersebut mungkin mempengaruhi cara beliau melihat, mendengar, memahami dan mentafsir perkara yang berlaku di sekelilingnya pada ketika itu.

Yasin turut menegaskan bahawa perkongsiannya sebelum ini tidak pernah bertujuan mencemarkan nama baik Jabatan Penjara Malaysia atau memperkecilkan tugas pegawai dan anggota yang bertugas.

Sebaliknya, beliau berkata dirinya menghargai tugas serta khidmat warga Jabatan Penjara dalam menjaga keselamatan, kebajikan dan proses pemulihan penghuni.

Permohonan maaf itu dibuat selepas Jabatan Penjara sebelum ini menafikan dakwaan Yasin mengenai kehidupan di dalam penjara serta menegaskan bahawa pihaknya mempunyai prosedur operasi standard bagi menangani salah laku dan perkara negatif dalam kalangan penghuni.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *