MCMC Nafi Terlibat Aktiviti, Urusan Dalam Laporan Anthropic
PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan pihaknya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti atau urusan seperti yang digambarkan dalam laporan terkini diterbitkan syarikat pembangunan kecerdasan buatan (AI), Anthropic.
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata perkara yang dinyatakan dalam laporan berkenaan juga bukan sebahagian daripada fungsi atau mandat suruhanjaya itu.
“MCMC mengambil maklum mengenai laporan terkini yang diterbitkan oleh Anthropic dan memandang serius perkara yang dibangkitkan dalam laporan tersebut.
“Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, perkara yang dinyatakan dalam laporan berkenaan bukan sebahagian daripada fungsi atau mandat MCMC,” katanya.
Menurut kenyataan itu, MCMC kini sedang meneliti laporan berkenaan dan akan mendapatkan maklumat serta penjelasan lanjut daripada pihak berkaitan bagi memastikan fakta sebenar dikenal pasti, selain memahami konteks isu yang dibangkitkan.
MCMC berkata sebarang tindakan susulan akan ditentukan berdasarkan maklumat dan bukti yang diperoleh mengikut bidang kuasa suruhanjaya itu, termasuk melalui kerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan.
Pada masa sama, MCMC menegaskan usaha melindungi orang ramai serta menangani kemudaratan dalam talian kekal menjadi teras tanggungjawab suruhanjaya itu.
“MCMC akan terus memelihara dan memastikan persekitaran dalam talian yang selamat dan dipercayai untuk rakyat Malaysia,” katanya.
