ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

MCMC Mahu SLA Seragam, Utama Keselamatan Tangani Kemudaratan Dalam Talian

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mahu media sosial dan platform digital dipertanggungjawabkan menerusi Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA) yang seragam, selain menerapkan prinsip mengutamakan keselamatan bagi menjamin perlindungan pengguna, khususnya kanak-kanak dan golongan bawah umur.

Penasihat Kanan (Operasi) MCMC, Datuk Zulkarnain Mohd Yasin berkata aspek keselamatan dan perlindungan perlu kekal sebagai keutamaan seiring dengan kemajuan teknologi, memandangkan keutuhan ekosistem digital bergantung pada keberkesanan tahap perlindungan yang disediakan.

“Apabila bercakap mengenai ruang digital, perkara paling utama ialah aspek keselamatan dan perlindungan… kita bukan hanya bercakap tentang golongan dewasa yang berada dalam talian; terdapat juga isu melibatkan kanak-kanak dan golongan bawah umur yang menggunakannya.

“Kekuatan sesebuah rumah bergantung pada asas dan dinding yang dibina… kita sudah mempunyai undang-undang namun ia hanya akan berkesan sekiranya penguatkuasaan dilaksanakan dengan tegas,” katanya dalam temu bual sempena Persidangan M360 ASEAN 2026 di sini.

Zulkarnain berkata ketika Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 digubal, perkhidmatan aplikasi dikecualikan daripada pelesenan bagi merancakkan penyertaan, memupuk keterangkuman dan menggalakkan inovasi teknologi.

Bagaimanapun, katanya, kepantasan perkembangan teknologi serta kemunculan pelbagai bentuk kemudaratan dalam talian termasuk penipuan, penjualan kontraban dan bahan terlarang memerlukan campur tangan kawal selia.

“Pihak kawal selia lazimnya hanya campur tangan dari sudut ekonomi apabila berlaku kegagalan pasaran namun dalam aspek ini, saya tidak akan mengatakan bahawa berlaku kegagalan sebaliknya terdapat keperluan untuk mewujudkan garis panduan bagi mencegah penyalahgunaan atau salah guna kuasa.

“Kita telah melihat bagaimana algoritma boleh mewujudkan ketagihan; itu bukan mengutamakan keselamatan. Oleh itu, kita perlu menetapkan prinsip tertentu dan meletakkan platform-platform ini di bawah kerangka kawal selia bagi memastikan perkara tersebut dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata meletakkan platform berkenaan di bawah kerangka kawal selia semata-mata tidak mencukupi, sambil menambah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 berkuat kuasa pada 1 Jan 2026 bagi meletakkan tanggungjawab lebih besar ke atas platform dalam menangani kemudaratan dalam talian, khususnya sembilan kategori yang dikenal pasti.

Menyentuh mengenai tahap pematuhan yang berbeza antara platform, Zulkarnain berkata MCMC telah mengemukakan 7,133 permintaan untuk menurunkan kandungan berkaitan penjualan ubat terlarang, namun kadar pematuhan menunjukkan perbezaan ketara.

Beliau berkata Telegram mencatat kadar pematuhan 100 peratus, diikuti TikTok sebanyak 99 peratus dan Facebook 92 peratus.

“Pengaruh itu berada di pihak mereka. Kita hanya membuat permintaan. Namun, jika tiada kepastian atau tahap pematuhan tidak seimbang, ia turut mewujudkan ketidakseimbangan dari segi penguatkuasaan.

“Apa yang kita harapkan ialah wujudnya medan persaingan yang sama rata dan SLA yang seragam merentasi semua platform,” katanya sambil menegaskan bahawa platform perlu menggunakan sistem mereka secara proaktif bagi melindungi pengguna.

Zulkarnain berkata kelangsungan jangka panjang sesebuah platform bergantung pada kepercayaan pengguna dan memberi amaran bahawa penipuan yang tidak dibendung boleh menyebabkan orang ramai menjauhkan diri daripada platform berkenaan.

Beliau berkata usaha membina ekosistem digital yang dipercayai perlu diteruskan tanpa mengekang inovasi teknologi.

M360 ASEAN 2026 yang dianjurkan GSMA pada 9 dan 10 Sept menghimpunkan menteri, pengawal selia dan pemimpin industri bagi membincangkan isu kepercayaan digital, kecerdasan buatan, infrastruktur berdaya tahan serta integrasi digital serantau.

Persidangan itu, yang julung kali diadakan di rantau ASEAN dan Malaysia, mendapat sokongan Kementerian Komunikasi dengan MCMC bertindak sebagai rakan penganjur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *