ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

“Mommy, Daddy Balik Kan Esok? Sofia Rindu..” – Anak Juruterbang Helikopter Terhempas

KUALA LUMPUR – “Mommy, daddy balik kan esok? Sofia rindu daddy. Kenapa orang ramai dengan kita.”

Itu antara luahan pilu anak perempuan Kapten Zainol Afiq kepada ibunya, Izzati Syamimi, selepas mengetahui juruterbang berkenaan antara lima individu yang disahkan maut dalam nahas helikopter di STOLport Long Lellang, Sarawak, semalam.

Izzati berkongsi luahan berkenaan menerusi platform Threads, selain memuat naik beberapa hantaran meminta orang ramai mendoakan agar urusan keluarga kecilnya dipermudahkan.

“Sofia, mommy daddy sayang Sofia. Mommy pun masih berharap yang daddy akan balik. Kita kena kuat. Anak-anak mommy semua kuat,” katanya dalam hantaran berkenaan.

Dalam dua hantaran terdahulu, Izzati turut memohon orang ramai mendoakan dirinya dan dua anak mereka serta suaminya yang telah pergi.

“Doakan saya dan anak-anak. Doakan suami syurga saya. Tak pernah i rasa sesakit ni,” katanya.

Hantaran berkenaan turut disertakan tangkap layar lokasi terakhir suaminya sebelum kejadian.

Dalam hantaran terbaharunya pagi ini, Izzati turut memohon pihak media memberikan ruang kepadanya dan keluarga untuk menghadapi saat sukar susulan pemergian suaminya.

Dalam kejadian petang semalam, helikopter jenis BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran landasan STOLport Long Lellang di Ulu Baram ketika menjalankan penerbangan perkhidmatan Doktor Udara (FDS) ke kawasan pedalaman Sarawak.

Lima mangsa yang disahkan maut ialah pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, Kapten Zainol, penolong pegawai perubatan Alexson Adit serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya.

Bantuan udara dari Pangkalan Udara PDRM Kuching bagaimanapun tidak dapat digerakkan semalam berikutan keadaan cuaca berjerebu dan kebenaran penerbangan tidak diberikan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Pagi ini, lebih 20 anggota daripada pelbagai agensi termasuk 12 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digerakkan bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marudi, Penolong Penguasa Bomba Jessbent Jenus berkata pasukan berkenaan dijadualkan berlepas kira-kira 9 pagi menggunakan helikopter JBPM jenis Mi-171.

Beliau berkata perjalanan darat dari Marudi ke lokasi kejadian dianggarkan mengambil masa kira-kira 10 jam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *