Anwar Umum 6 Ikhtiar Segera Tangani Kos Sara Hidup Rakyat
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan enam ikhtiar segera untuk rakyat meliputi subsidi bahan api, penyelenggaraan sekolah, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan kesihatan, e-Invois dan pembiayaan mikro yang akan berkuat kuasa 1 September ini.
Anwar berkata langkah berkenaan merupakan usaha kerajaan menangani kebimbangan rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup dan tekanan kehidupan seharian.
“Kendatipun pelbagai ikhtiar telah dilaksanakan, saya, Timbalan Perdana Menteri, jemaah menteri tidak pernah menganggap bahawa kita sudah selesai semua masalah dan ini bukan tirai untuk menutup keresahan rakyat.
“Saya faham rakyat masih bergelut dengan kos sara hidup. Maka, di ambang kemerdekaan ini, saya terpaksalah berikhtiar, mencari jalan, mengambil langkah mengumumkan sesuatu yang boleh melegakan sementara … untuk anak-anak sekolah, anak muda, suri rumah dan ibu-ibu,” katanya ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, barisan jemaah menteri dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Menerusi ikhtiar pertama, Anwar berkata kerajaan bersetuju mengembalikan kelayakan asas Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, sekali gus membolehkan lebih 16 juta pengguna menikmati RON95 bersubsidi.
Pada masa sama, lebih setengah juta pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak akan menikmati BUDI Diesel sehingga 400 liter sebulan.
Bagi ikhtiar kedua, beliau berkata peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi 2027 akan ditingkatkan 50 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion.
Peruntukan itu meliputi semua aliran termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta pendidikan khas.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau turut mengarahkan Kementerian Pendidikan mengatur gerak kerja di setiap daerah bagi meneliti permohonan pembaikan prasarana supaya kerja penyelenggaraan dapat dimulakan seawal Januari 2027.
Ikhtiar ketiga membabitkan Program AI untuk Rakyat yang dibuka kepada anak muda Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun.
Beliau berkata 100,000 belia yang melengkapkan modul ditetapkan akan menerima langganan aplikasi AI secara percuma selama tiga bulan, termasuk IlmuChat, Gemini Enterprise, Wonderclip dan MuleRun.
Bagi ikhtiar keempat, Anwar berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menyediakan peruntukan RM1 bilion bagi memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam.
Ia termasuk pelaksanaan sistem Rekod Kesihatan Elektronik (EMR) serta peningkatan ketersambungan Internet di 150 hospital dan lebih 2,000 klinik kesihatan awam.
Ikhtiar kelima pula membabitkan kenaikan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun.
“Ini sekali gus mengecualikan perniagaan dengan jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta daripada kewajipan melaksanakannya,” katanya.
Sementara itu, bagi ikhtiar keenam, kerajaan akan menambah kemudahan pembiayaan mikro sebanyak RM1 bilion, menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion.
Anwar berkata kerajaan turut memperkenalkan Geran Sejahtera MADANI bernilai RM200 juta bagi membantu penjaja, peniaga kecil, peniaga pasar malam serta ibu yang berniaga dari rumah.
“Inilah semangat perpaduan kita. Mudah-mudahan keenam-enam ikhtiar ini dapat dilaksanakan kerana ia bertitik tolak daripada satu prinsip yang jelas iaitu pertumbuhan ekonomi mesti dikembalikan kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata beberapa pengumuman lain akan disampaikan semasa sambutan Hari Malaysia di Sarawak serta menerusi pembentangan Belanjawan 2027.
“Semoga ikhtiar ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban rakyat serta memberikan makna yang nyata kepada sambutan kemerdekaan tahun ini,” katanya.
Perdana Menteri berkata beliau bersama seluruh pasukan Kerajaan MADANI akan terus mendengar suara dan keresahan rakyat serta bekerja keras bagi memastikan setiap kejayaan negara diterjemahkan kepada manfaat yang dirasai rakyat, selain kehidupan yang lebih sejahtera dan bermaruah.
