15 Hospital Kerajaan Antara Penerima Awal Peruntukan Digital RM1 Bilion
PUTRAJAYA – Sebanyak 15 hospital kerajaan dikenal pasti sebagai kumpulan awal yang akan menerima manfaat peruntukan RM1 bilion bagi memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata peruntukan itu, yang dinaikkan daripada RM650 juta seperti diumumkan sebelum ini, akan mempercepat pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) serta penyediaan akses Internet termasuk WiFi awam di klinik kesihatan dan hospital kerajaan.
“Saya akan adakan perbincangan. Pada peringkat awal, 15 hospital dijangka dapat diselesaikan tetapi saya akan minta supaya angka ini dinaikkan lagi dan daripada 2,000 klinik kesihatan, kita akan cuba untuk tingkatkan jumlah yang dapat diuruskan bagi tahun ini.
“Peningkatan peruntukan ini bertujuan mempercepat usaha untuk akses digital di klinik kesihatan dan hospital kerajaan serta program e-medical record yang telah kita laksanakan menerusi kerjasama MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan juga Kementerian Kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Amanat Perdana Hari Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Fahmi berkata pelaksanaan sistem EMR secara rintis di Klinik Kesihatan Padang Besar sebelum ini membolehkan doktor mengakses maklumat pesakit secara elektronik tanpa perlu merujuk dokumen fizikal, sekali gus menjimatkan masa ketika memberikan rawatan.
Sementara itu, beliau berkata Kementerian Komunikasi akan membantu memastikan mesej Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelbagai bantuan dan pencapaian kerajaan dapat disampaikan secara berkesan kepada rakyat.
Mengenai tawaran langganan percuma aplikasi kecerdasan buatan (AI) kepada 100,000 anak muda berusia 18 hingga 30 tahun yang menyertai program AI untuk Rakyat, Fahmi berkata maklumat lanjut mengenai inisiatif itu akan dimaklumkan kemudian.
Terdahulu, ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan, Anwar mengumumkan enam ikhtiar utama kerajaan termasuk peruntukan RM1 bilion bagi mempercepat urusan rawatan dan mengurangkan tempoh menunggu menerusi pelaksanaan EMR.
Selain itu, beliau mengumumkan kerajaan bersetuju mengembalikan kelayakan asas Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, manakala BUDI Diesel dinaikkan daripada 300 liter kepada 400 liter sebulan.
Kerajaan turut menaikkan ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun serta menyediakan langganan AI percuma kepada golongan muda.
Anwar berkata peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi 2027 akan ditingkatkan 50 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion.
Beliau turut mengumumkan Geran Sejahtera MADANI berjumlah RM200 juta bagi membantu penjaja, peniaga pasar malam dan ibu yang menjalankan perniagaan dari rumah, selain tambahan RM1 bilion bagi kemudahan pembiayaan mikro, menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat kepada RM6 bilion.
