Austria Laksana Larangan Pemakaian Tudung Pelajar Perempuan Bawah 14 Tahun
VIENNA – Austria mula menguatkuasakan larangan pemakaian tudung bagi pelajar perempuan Islam berusia bawah 14 tahun ketika sesi persekolahan baharu bermula di seluruh negara pada Isnin.
Undang-undang baharu itu melarang pemakaian penutup kepala yang diklasifikasikan sebagai pakaian tradisional Islam, termasuk hijab dan burka, di sekolah awam serta swasta.
Menteri Integrasi Austria Claudia Bauer daripada Parti Rakyat Austria (OVP) mempertahankan langkah itu dengan menyifatkan tudung sebagai simbol penindasan dan kawalan terhadap kanak-kanak perempuan sejak usia muda.
Kerajaan campuran pimpinan konservatif yang terdiri daripada OVP, Parti Demokratik Sosial (SPO) dan parti liberal Neos berkata undang-undang berkenaan mencerminkan komitmen negara terhadap kesaksamaan gender selain bertujuan melindungi hak kanak-kanak perempuan.
Bagaimanapun, langkah itu mendapat bantahan daripada komuniti Islam dan kumpulan hak asasi manusia yang mendakwa larangan berkenaan menyasarkan golongan Muslim secara khusus.
Wakil Komuniti Islam Austria (IGGO) Carla Amina Baghajati berkata pertubuhan itu menentang larangan berkenaan kerana menganggapnya mencabuli kebebasan beragama serta memberi kesan tidak seimbang terhadap pelajar perempuan Islam.
Menurutnya, larangan itu berisiko meminggirkan golongan yang didakwa mahu dilindungi kerajaan.
IGGO turut memaklumkan akan menyokong tindakan undang-undang oleh keluarga yang berpendapat hak asasi mereka telah dilanggar, termasuk membawa kes berkenaan ke Mahkamah Perlembagaan Austria.
Pada 2020, mahkamah sama membatalkan larangan pemakaian tudung di sekolah rendah dengan alasan ia bercanggah dengan prinsip berkecuali agama yang diamalkan Austria.
Di bawah undang-undang baharu itu, guru bertanggungjawab menguatkuasakan larangan melalui sesi perbincangan bersama pelajar dan penjaga mereka.
Bagi pelanggaran berulang, pihak kebajikan kanak-kanak boleh dimaklumkan dan penjaga berdepan denda sehingga 800 euro (kira-kira RM4,000).
Beberapa kesatuan guru turut menyuarakan kebimbangan terhadap tanggungjawab tambahan yang perlu dipikul bagi melaksanakan peraturan berkenaan.
Sementara itu, Parti Hijau yang merupakan pembangkang mengkritik kerajaan kerana mewujudkan konflik baharu di sekolah serta meletakkan beban pelaksanaan peraturan itu kepada guru.
Dalam perkembangan berasingan, Parti Kebebasan Austria (FPÖ) yang berhaluan kanan berpendapat larangan sedia ada tidak mencukupi dan menggesa pengharaman menyeluruh terhadap pemakaian tudung serta penutup muka bagi pelajar dan guru di sekolah.
Austria menyertai beberapa negara Eropah termasuk Perancis, Belgium dan Denmark yang telah melaksanakan sekatan terhadap pemakaian penutup muka penuh di tempat awam.
Bagaimanapun, pengkritik berkata undang-undang Austria berbeza kerana ia secara khusus menyasarkan penutup kepala yang dipakai wanita Islam.
Isu berkenaan dijangka terus mencetuskan perdebatan di Austria apabila pihak yang membantah bersedia mencabar kesahihan undang-undang itu di mahkamah.
