Adik Legenda Harimau Malaya Sahkan Abdah Alif Nikahi Gadis 20 Tahun
KUALA LUMPUR – Teka-teki mengenai status legenda bola sepak negara Datuk Abdah Alif terjawab apabila adiknya, Datuk Yunus Alif mengesahkan abangnya itu baru sahaja melangsungkan perkahwinan.
Yunus, yang juga bekas pemain kebangsaan dan jurulatih, berkata Abdah, 72, melangsungkan pernikahan pada 27 Ogos lepas di Kuala Terengganu dengan mendapat restu kedua-dua keluarga.
“Alhamdulillah mereka baru saja nikah pada 27 Ogos lalu. Kedua-dua keluarga bersetuju jadi tidak ada masalah. Kita doakan agar mereka berdua berbahagia.
“Mungkin sekarang tengah berbulan madu. Sebab itu tidak angkat (panggilan Datuk Abdah Alif). Betul mereka dah nikah, dan kita doakan yang terbaik buat mereka berdua,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pengesahan itu sekali gus menjawab persoalan selepas gambar Abdah bersama pasangannya yang difahamkan berusia 20 tahun tersebar di media sosial dan menarik perhatian peminat bola sepak tempatan.
Yunus turut mendoakan agar perkahwinan abangnya bersama pasangan pilihan hatinya itu berkekalan serta dikurniakan kebahagiaan hingga ke akhir hayat.
“Semoga mereka bahagia dan kekal hingga ke Jannah,” katanya.
Sebelum ini, usaha mendapatkan pengesahan daripada Abdah berhubung gambar perkahwinan berkenaan tidak berhasil apabila bekas pemain handalan Harimau Malaya itu gagal dihubungi.
Abdah merupakan antara nama penting dalam sejarah bola sepak negara apabila menjadi tonggak skuad kebangsaan pada era kegemilangan Harimau Malaya pada penghujung 1970-an dan awal 1980-an.
Beliau antara pemain yang membantu Malaysia melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Moscow 1980 selepas skuad negara menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi penentuan.
Abdah ketika itu beraksi bersama generasi pemain yang cukup disegani termasuk Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh dan Datuk Jamal Nasir Ismail.
Bagaimanapun, Abdah dan rakan sepasukannya tidak berpeluang beraksi di pentas Olimpik selepas Malaysia memutuskan untuk memboikot temasya Moscow 1980 sebagai tanda bantahan terhadap pencerobohan Kesatuan Soviet ke atas Afghanistan.
Selepas sekian lama meninggalkan pentas persaingan bola sepak, nama Abdah kembali menjadi perhatian peminat susulan berita perkahwinannya yang disahkan oleh adiknya itu.
Dengan restu kedua-dua keluarga, Yunus berharap perkahwinan legenda Harimau Malaya itu terus dilimpahi kebahagiaan dan berkekalan hingga ke Jannah.
