Angka Korban Banjir Nepal Meningkat Kepada 903, Lebih 4,200 Masih Hilang
KUALA LUMPUR – Angka korban akibat banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda Nepal meningkat kepada 903 orang, manakala 4,247 lagi masih dilaporkan hilang, menurut angka terkini pihak berkuasa negara itu.
Menurut portal berita The Kathmandu Post, Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMA) dalam kemas kini operasi mencari, menyelamat dan bantuan pada 9 pagi Isnin memaklumkan 903 mayat, termasuk cebisan anggota badan, telah ditemukan di beberapa daerah terjejas.
Chitwan merekodkan jumlah penemuan mayat tertinggi iaitu 272, diikuti Nawalparasi Timur (207), Nawalparasi Barat (151), Nuwakot (95), Gorkha (62), Dhading (55), Tanahun (37) dan Rasuwa (24).
“Kebanyakan mayat terus ditemukan beratus-ratus kilometer di hilir sungai selepas arus banjir deras membawa mangsa dan sisa runtuhan sepanjang laluan sungai,” lapor The Kathmandu Post.
Jumlah individu yang masih hilang turut meningkat dengan Nuwakot merekodkan 1,558 orang, diikuti Rasuwa (865).
Selain itu, 933 individu yang dikaitkan dengan projek hidroelektrik, 592 warga asing serta 127 rakyat tempatan yang mengiringi pelancong asing turut dilaporkan masih belum ditemukan.
Kerajaan Nepal memaklumkan 267 orang mengalami kecederaan, dengan 156 daripadanya telah dibenarkan keluar hospital selepas menerima rawatan, manakala enam pasukan perubatan pembedahan khas dihantar ke kawasan paling teruk terjejas.
Operasi mencari, menyelamat dan penyaluran bantuan turut dipertingkatkan dengan penempatan 20,819 anggota keselamatan di seluruh daerah terjejas, terdiri daripada 8,722 anggota Tentera Nepal, 7,894 anggota Polis Nepal dan 4,203 anggota Pasukan Polis Bersenjata.
Setakat ini, seramai 10,451 orang telah diselamatkan.
Operasi udara turut memainkan peranan penting dengan 411 penerbangan helikopter dilaksanakan setakat ini, termasuk 17 penerbangan pada Isnin.
Penyelamatan udara oleh Tentera Nepal membabitkan 3,344 rakyat tempatan dan 252 warga asing, termasuk 15 warga China serta tujuh warga India yang dipindahkan dari tapak hidroelektrik pada Ahad.
Sementara itu, Polis Nepal menggunakan kaedah pemprofilan DNA bagi mengenal pasti mayat dan cebisan anggota badan yang ditemukan susulan banjir Sungai Bhote Koshi.
Dalam hantaran di Facebook, Polis Nepal meminta waris terdekat, termasuk bapa, ibu, anak lelaki atau anak perempuan kepada individu yang hilang, menyerahkan sampel DNA bagi tujuan padanan dengan sisa mayat yang ditemukan.
Bagi waris di Nepal, sampel darah segar boleh diserahkan untuk pemprofilan DNA di Makmal Patologi Hospital Polis Nepal di Maharajgunj, Kathmandu, atau mana-mana pejabat polis daerah terdekat.
Waris yang menetap di luar negara pula diminta menjalani pemprofilan DNA di makmal bertauliah di negara masing-masing dan menghantar salinan profil DNA kepada Polis Nepal melalui e-mel bagi tujuan padanan.
