SPR Mula Pamer Notis Cadangan Tambah Kawasan Pilihan Raya Sarawak
KUCHING – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mula mempamerkan notis cadangan persempadanan bahagian pilihan raya bagi negeri Sarawak yang melibatkan penambahan 17 kawasan pilihan raya negeri baharu serta pertukaran nama 10 kawasan sedia ada.
Notis berkenaan dipamerkan sehingga 30 September ini di beberapa pejabat daerah di seluruh Sarawak bagi membolehkan orang ramai mengemukakan bantahan atau representasi terhadap cadangan berkenaan.
Notis sama turut disiarkan dalam akhbar tempatan, Utusan Borneo dan Borneo Post hari ini.
Menurut notis itu, SPR menjalankan kajian semula pembahagian negeri Sarawak kepada bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri mengikut kehendak Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
Hasil kajian berkenaan, sebanyak 17 kawasan pilihan raya negeri baharu dicadangkan, manakala 10 kawasan pilihan raya negeri sedia ada dicadangkan untuk ditukar nama.
Selain itu, satu kawasan pilihan raya Persekutuan di Sarawak turut dicadangkan untuk ditukar nama.
17 kawasan pilihan raya negeri baharu yang dicadangkan ialah Jagoi, Pasir Pandak, Matang, Semarak, Tabuan Jaya, Maong, Samarindah, Sungai Serin, Igan, Tanah Mas, Sungai Merah, Bukit Kemuyang, Melekun, Batu Niah, Permaisuri, Tudan dan Usun Apau.
Sementara itu, 10 kawasan pilihan raya negeri yang dicadangkan untuk ditukar nama ialah Serayan (sebelum ini Opar), Singai (Tasik Biru), Bung Sadung (Tarat), Muara Lassa (Semop), Matu (Jemoreng), Rassau (Bawang Assan), Jepak Jaya (Jepak), Pantai Beraya (Lambir), Lopeng (Senadin) dan Gunong Murud (Ba’kelalan).
Bagi kawasan pilihan raya Persekutuan, SPR mencadangkan nama Igan ditukar kepada Batang Lassa.
Pada Julai tahun lepas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang DUN (Komposisi Keanggotaan) 2025 bagi menambah 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DUN negeri itu sebanyak 99.
Ketika ini, DUN Sarawak mempunyai 82 kerusi.
Mandat Kerajaan Negeri Sarawak akan berakhir pada Februari 2027.
