ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Hantaran Lafaz Syahadah Cetus Persoalan, Cikgu Chandra Minta Tempoh Bertenang

SHAH ALAM – Aktivis masyarakat S. Chandrasegaran atau lebih dikenali sebagai Cikgu Chandra meminta ruang dan masa untuk menjelaskan mengenai hantaran lafaz syahadah yang dimuat naik di Facebook miliknya pada Jumaat.

Beliau berkata akan memaklumkan perkara itu selepas tempoh bertenang yang dilaluinya selesai.

“Insya-Allah, saya akan maklumkan bila tempoh bertenang saya selesai,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Bagaimanapun, beliau berkata buat masa ini tidak mahu mengulas lanjut kerana perlu mengambil kira keadaan serta keselamatan keluarganya.

“Saya menghormati persoalan yang dikemukakan oleh pihak media. Namun, saya memilih untuk menjawab Alhamdulillah pada ketika ini.

“Saya ada keluarga yang perlu saya lindungi dan saya tidak mahu sebarang kenyataan saya dipetik di luar konteks sehingga menimbulkan salah faham atau memberi kesan kepada mereka,” katanya.

Sebelum ini, Cikgu Chandra memuat naik hantaran di Facebook yang memaparkan lafaz syahadah sehingga mencetuskan persoalan dalam kalangan netizen sama ada beliau telah memeluk Islam.

Menerusi perkongsian itu, beliau menulis lafaz, “Tiada Tuhan yang disembah melainkan ALLAH dan Nabi Muhammad SAW itu adalah pesuruh ALLAH”.

Cikgu Chandra berkata setiap individu berhak membuat tafsiran terhadap sesuatu hantaran, namun beliau tidak akan memberikan ulasan lanjut mengenai perkara itu buat masa ini.

Sehubungan itu, beliau berharap pendiriannya dihormati dan diberikan ruang kepada dirinya serta keluarga.

Hantaran grafik dikongsikan Cikgu Chandra.

Dalam hantaran lain, Cikgu Chandra turut berkongsi grafik mengenai kehidupannya yang membesar di Alor Setar bersama rakan-rakan beragama Islam sejak kecil, serta tidak pernah menganggap perbezaan kaum sebagai satu isu.

Beliau turut berkongsi pengalamannya bersama rakan-rakan Muslim termasuk ketika menangkap ikan, berkunjung ke rumah rakannya yang berkhatan dan menikmati nasi kuning.

Menurutnya, pengalaman ketika berdepan situasi kecemasan juga meninggalkan kesan mendalam apabila individu pertama yang bersamanya ketika itu ialah seorang lelaki Melayu.

“Jadi tersebut hati saya dan berniat memeluk agama Islam. Cuma sekarang saya berjinak mengaji Al-Quran sebelum proses seterusnya,” katanya menerusi perkongsian berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *