ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Saravanan Tekad Bersih Nama, Mahu Bicara Kes Suapan RM1.097 Juta Dipercepat

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan menyifatkan pertuduhan menerima suapan RM1.097 juta yang dihadapinya sebagai dakwaan liar dan bermotifkan politik.

Ahli Parlimen Tapah itu berkata beliau terkejut dengan tiga pertuduhan berkenaan, namun bertekad membersihkan nama baiknya menerusi proses perbicaraan di mahkamah.

Katanya, beliau tidak berasa malu dengan pertuduhan itu kerana yakin fakta sebenar akan didedahkan sepanjang prosiding mahkamah.

“Saya langsung tidak rasa malu dengan tuduhan ini sebab apabila fakta keluar nanti, rakyat akan tahu macam mana anda tuduh saya dengan maklumat-maklumat palsu.

“Sabar saja, tidak lama lagi fakta akan keluar. Hari ini saya tidak boleh sebut fakta. Apabila kes ini dibicarakan di mahkamah, fakta akan keluar,” katanya kepada pemberita pada sidang media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden MIC itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1.097 juta, empat tahun lalu.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, Saravanan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sementara itu, Saravanan berharap prosiding kes berkenaan tidak dilengah-lengahkan dan meminta perbicaraan dipercepatkan.

“Saya cuma merayu kepada mahkamah melalui peguam saya, jangan buat kes ini macam kes-kes lain, main tarik, tarik, tarik. Saksi pun tidak ramai, sedikit saja.

“Saya bersedia untuk menghadapi mahkamah dan saya sanggup bekerjasama.

“Yang penting, saya mahu membersihkan nama saya melalui proses perbicaraan yang adil,” katanya.

Mengulas surat yang pernah dihantarnya kepada Perdana Menteri, Saravanan berkata beliau telah membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri sejak enam bulan lalu.

“Saya bukan minta Perdana Menteri kawal SPRM, saya minta beliau membantu meneliti kes ini kerana saya memang tidak terbabit.

“Sekarang rayuan kedua saya, cepatkan kes ini dan jalankan dalam masa terdekat. Ini membabitkan seorang wakil rakyat dan Timbalan Presiden MIC. Saya ada tanggungjawab terhadap ahli-ahli parti saya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *