1,000 Jalur Gemilang Diagih Semarakkan Semangat Patriotisme Di Meru
KAPAR – Sebanyak 1,000 Jalur Gemilang diedarkan kepada pengguna jalan raya dan masyarakat setempat sekitar Pekan Meru, di sini, menerusi Program Semarak Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Program itu dianjurkan Persatuan Yakinkan Eratkan Sahabatkan Selangor dengan kerjasama Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara sebagai usaha menyemarakkan semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara.
Pengerusi Persatuan Yakinkan Eratkan Sahabatkan Selangor, Mohd Affifi Mohd Aris berkata program berkenaan turut menjadi platform untuk mendekati masyarakat serta mengajak orang ramai menghayati semangat dan erti kemerdekaan.

“Bulan Kebangsaan bukan sekadar satu sambutan, tetapi merupakan masa untuk kita menghayati kembali nilai kemerdekaan, perpaduan dan pengorbanan generasi terdahulu.
“Melalui Program Semarak Jalur Gemilang ini, kita mahu menyemarakkan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia. Walaupun hanya dengan mengibarkan Jalur Gemilang pada kenderaan, ia membawa simbol kecintaan, kesetiaan dan kebersamaan kita kepada negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Affifi, yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kapar, turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Trafik IPD Klang Utara atas kerjasama dan komitmen dalam menjayakan program berkenaan.

Beliau berkata kerjasama antara pertubuhan masyarakat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) penting dalam mengeratkan hubungan dengan komuniti serta mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni dan bertanggungjawab.
“Persatuan berharap program ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai masyarakat, khususnya di sekitar Meru, Kapar dan Klang, untuk mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kebangsaan.
“Kibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga. Kemerdekaan ini milik kita bersama dan menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankan perpaduan serta keharmonian negara,” katanya.
